Lelaki dihukum gantung bunuh pekerja warga Bangladesh - Utusan Malaysia

Lelaki dihukum gantung bunuh pekerja warga Bangladesh

MOHAMAD Amier Amzar Mohamad Aspar dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki warga Bangladesh tujuh tahun lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki warga Bangladesh yang mayatnya dijumpai di dalam Sungai Kinta dengan keadaan sebelah kaki diikat pada motosikal, tujuh tahun lalu.

Hakim Su Tiang Joo membuat keputusan itu terhadap Mohamad Amier Amzar Mohamad Aspar, 28, yang didapati bersalah membunuh Md. Ovaidul, 32.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa membunuh mangsa di Sungai Kinta kawasan Sungai Galah di Kampung Gajah antara pukul 8.20 hingga 10.25 malam, 15 Disember 2018.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Dalam penghakiman di akhir kes pembelaan, Hakim Tiang Joo berpendapat, kematian mangsa dalam kes itu bukan berlaku secara tiba-tiba sebaliknya pembunuhan tersebut telah dirancang dan dilakukan dengan amat kejam.

“Saya bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembunuhan ini telah dirancang terlebih dahulu dan dilakukan dengan cara yang amat kejam oleh tertuduh yang kemungkinan besar menyebabkan mangsa menanggung kesakitan dan penderitaan yang teruk dalam tempoh yang panjang.

“Bermula dari dipukul di rumahnya kemudian dibawa ke tebing sungai sebelum dikelar dan mayatnya dibuang ke dalam sungai bagi menghapuskan bukti.

“Dengan kata lain, kematian itu bukan berlaku secara tiba-tiba atau serta-merta. Berdasarkan keadaan ini, saya menerima hujahan pihak pendakwaan bahawa hukuman mati adalah wajar dan saya menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh mengikut Seksyen 277 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihukum gantung sampai mati,” ujar beliau.

Terdahulu, abang mangsa, Md. Hossain Khan, 37, ketika memberi penyataan impak yang dibacakan jurubahasa di hadapan hakim memberitahu bahawa kematian anak ketiga daripada enam beradik itu memberi kesan yang amat mendalam kepada keluarga.

Katanya, meskipun jenazah adiknya telah dihantar pulang ke kampung halaman, ia bukanlah penawar kepada kesedihan dan kehilangan yang ditanggung oleh keluarga untuk seumur hidup.

“Dia bukan seorang penjenayah dan bukan orang jahat. Dia seorang anak dan adik yang baik serta harapan keluarga.

“Adik saya tidak mati kerana sakit, tidak mati kerana kemalangan tetapi dia mati kerana dibunuh secara kejam oleh orang yang sepatut melindunginya sebagai majikan. Perbuatan tertuduh terhadap adik saya adalah tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Menurut Hossain, sebelum kejadian, adiknya bercadang untuk pulang ke Bangladesh dalam masa sebulan bagi melangsungkan perkahwinan.

“Keluarga kami telah membuat persiapan di kampung namun impian tersebut musnah apabila dia dibunuh secara kejam. Apa yang menyedihkan, dia dibunuh anak majikannya sendiri,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Geetha Jora Singh manakala tertuduh diwakili peguam, V. Santhiran.

Seramai 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan sepanjang kes dibicarakan bermula 6 Januari 2020.

Menerusi laporan media pada 18 Disember 2018, mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan dalam keadaan kaki kanannya diikat pada motosikal jenis Modenas Kriss yang dipercayai dijadikan sebagai pemberat bagi menenggelamkan mangsa.

Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa menemui kesan kelar pada leher dan dua kesan luka di belakang kepala di mana siasatan awal polis mendapati mangsa dibunuh pada 15 Disember 2018.

Motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa apabila suspek memaklumkan kepada isterinya yang dia keluar makan bersama mangsa pada hari kejadian, namun mangsa menafikan perkara itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN