Lebih 3,900 sertai perarakan Hari Kebangsaan  di Kuala Terengganu

 Lebih 3,900 sertai perarakan Hari Kebangsaan  di Kuala Terengganu

SEBAHAGIAN kontinjen yang terlibat dalam perbarisan sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 peringkat Terengganu di Dataran Syahbandar Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 peringkat negeri ini berlangsung dengan gemilang hari ini apabila seramai 3,972 peserta berarak melibatkan 122 kontinjen dari pelbagai jabatan, agensi, institusi pendidikan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan mencemar duli menyaksikan perarakan bersejarah itu dengan kehadiran kira-kira 20,000 rakyat yang membanjiri Dataran Shahbandar, di sini sejak awal pagi.

Turut berangkat Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra’ dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepemimpinan negeri.

Daripada jumlah kontinjen yang mengambil bahagian, 76 pasukan bertanding dalam pelbagai kategori manakala 32 kontinjen lagi tidak bertanding, menggambarkan penyertaan menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menariknya, seramai 1,595 peserta terdiri daripada pelajar sekolah yang mencerminkan semangat cintakan tanah air yang terus dipupuk dalam kalangan generasi muda.

Secara keseluruhan, terdapat 12 kategori dipertanding dan dipersembahkan, iaitu lapan kategori bertanding, tiga kategori tidak bertanding  dan satu kategori khas kenderaan. Acara kali ini turut menyaksikan penyertaan 14 pasukan kenderaan dari agensi kerajaan dan swasta, melibatkan sebanyak 198 buah kenderaan yang mengambil bahagian dalam perarakan meriah itu.

Pelbagai persembahan menarik dipertonton kepada umum termasuk kawad kaki, pancaragam, pertunjukan beruniform serta paparan kreativiti dan identiti jabatan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN