MELAKA: Lebih 300 bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di Melaka akan mengikuti program rehab dan pemulihan akidah selama sembilan bulan bermula bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, data lengkap melibatkan jumlah sebenar ahli, jantina, status keluarga serta pendidikan anak-anak mereka sedang dikumpul bagi memastikan proses pemulihan dan bantuan dapat disalurkan dengan sewajarnya.
“Alhamdulillah, majlis ramah mesra malam ini (semalam) berjaya menghimpunkan hampir 273 orang daripada keseluruhan 300 ahli yang dikenal pasti, melibatkan 51 keluarga, daripada sini kita dapat kumpul maklumat lebih terperinci untuk dijadikan rujukan.
“Kita juga menyediakan kaunter khas bagi membantu mereka mendapatkan maklumat, termasuk isu status perkahwinan, persekolahan anak-anak serta masalah sosial lain yang sebelum ini tidak pernah direkodkan secara jelas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama Exco di Ayer Keroh di sini, semalam.
Rahmad berkata, data yang dikumpulkan akan menjadi asas kepada pelaksanaan program pemulihan yang dijalankan seminggu sekali di beberapa lokasi sekitar Melaka termasuk Kompleks Al-Azim dan sekolah kerajaan.
“Kita mahu bantu mereka kembali hidup normal selepas ramai hilang pekerjaan tetap, ada yang kini bekerja sendiri, membawa e-hailing dan berniaga kecil-kecilan, jadi dengan adanya program ini, mereka boleh dibimbing semula.
“Mereka juga warga negara kita, anak-anak mereka layak mohon biasiswa dan bantuan sama seperti pelajar lain, insya-Allah dengan kerjasama semua pihak, program ini dapat mengembalikan keyakinan mereka,” katanya.
Melaka merupakan negeri ketiga melaksanakan program tersebut selepas Selangor dan Johor. Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) turut menyalurkan bantuan awal berupa peralatan sekolah kepada lebih 100 pelajar sebagai persediaan sesi persekolahan baharu. – UTUSAN










