SIK: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor belum memberi jawapan sama ada untuk bertanding jawatan Naib Presiden Pas atau tidak walaupun namanya telah diumumkan layak.
Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu, beliau mempunyai masa sehingga Jumaat ini untuk membuat keputusan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat.
Bagaimanapun, Muhammad Sanusi memberi bayangan seakan-akan masih belum bersedia untuk berada di kedudukan yang lebih tinggi buat masa ini.
“Saya kena buat keputusan sebelum 29 Ogos ini, masih ada masa tiga hari lagi. Layak tak semestinya bertanding, saya ulang banyak kali dah saya ini kedudukan dalam parti tak pernah dikejar dan saya duduk di sini pun (jawatan sekarang) kerana orang terdahulu lantik dan tunjuk di mana saya patut duduk.
“Tetapi saya pun tahu diri saya tera (tahap) mana dan saya tak rasa untuk memanjat hieraki yang lebih tinggi. Saya tak mengejar kedudukan, di mana orang kata sesuai di situ lah saya berada,” katanya ketika ditemui selepas Program Kebajikan dan Advokasi Perundangan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu sudah dua kali menolak pencalonan sebagai Naib Presiden Pas sempena Muktamar Tahunan parti itu.
Namun, Muhammad Sanusi berkata, beliau perlu menghormati pihak yang mencalonkan namanya untuk bertanding sebagai Naib Presiden parti itu.
“Buat masa ini belum ada keputusan lagi, tapi kena hormat juga orang yang calon, tapi depa itu kena tahu lah saya (macam mana) kan, boleh pi atau tak boleh pi, saya sanggup ka tidak itu kena tanya lah saya,” katanya.
Tambahnya, tidak ada perebutan dalam Pas yang diharapkan tradisi itu akan berkekalan sampai bila-bila kerana dakwanya banyak parti-parti di dunia ini telah rosak kerana berebut jawatan.
“Bila berebut mula menyogok, bila menyogok mula merasuah, bila merasuah mula mencuri dan bila mencuri mula merosakkan negara.
“Perkara ini bermula daripada rasa layak nak duduk sesuatu jawatan, jadi perkara itu tak boleh ada dalam Pas dan saya pun tak mahu ada dalam diri saya,” katanya.-UTUSAN










