PUTRAJAYA: Edisi kedua Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX 2025) merekodkan penyertaan luar biasa apabila disertai 12,000 peserta.
Berbanding edisi sulung tahun lalu, ia disertai 6,000 peserta sekali gus menunjukkan kesedaran yang tinggi oleh penjawat awam ke arah budaya hidup sihat.
Acara yang dianjurkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Kelab Sukan dan Kebajikan INTAN (KESKI) itu berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini.
Pelepasan peserta bermula pukul 7.20 pagi disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bersama pimpinan tertinggi perkhidmatan awam.
Penyertaan merangkumi tiga kategori larian masing-masing 3 kilometer (km), 5km dan 10km dengan 14 kategori dipertandingkan melibatkan pegawai awam serta orang ramai pelbagai peringkat umur.
Johan, naib johan dan tempat ketiga bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai masing-masing RM800, RM500 dan RM300.
Program itu bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menyemarakkan semangat perpaduan antara pemimpin negara, penjawat awam dan rakyat pelbagai lapisan.
Lebih daripada sekadar acara sukan, Larian MAPPA XX turut menampilkan aktiviti sampingan seperti pickleball, bola sepak jalanan dan pemeriksaan kesihatan percuma di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
Peserta larian turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah melebihi RM100,000 termasuk hadiah utama sebuah kereta Perodua Bezza, motosikal dan pakej percutian.
Program itu turut dimeriahkan dengan Jualan Rahmah, reruai interaktif oleh 12 agensi kerajaan serta 20 trak makanan.
JPA dalam kenyataan memaklumkan, program sebegini penting dalam memperkukuh nilai keterangkuman, hormat, ihsan dan kesejahteraan dalam perkhidmatan awam, selain mendekatkan penjawat awam dengan rakyat.
Larian MAPPA XX menjadi bukti nyata perkhidmatan awam bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi rakan strategik rakyat dalam pembangunan negara.
Penganjuran kali ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Perbadanan Putrajaya, BSN Malaysia, Decathlon, TH Properties, KWAP, RISDA, CUEPACS, ECRL, SWCorp, TNB, Agro Bank, PR1MA, F&N dan Nestle sekali gus membuktikan kerjasama erat sektor kerajaan dan swasta dalam menjayakan agenda Madani.
Larian MAPPA XX 2025 turut digerakkan mengikut wilayah yang dimulakan di Kuantan, Pahang pada 17 Mei; Batu Kawan, Pulau Pinang (28 Jun); Kuching, Sarawak (6 Julai); Kota Kinabalu, Sabah (12 Julai) dan berakhir di Johor Bahru, Johor pada 16 Ogos ini. – UTUSAN