KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu meletakkan harapan tinggi supaya penguatkuasaan larangan penjualan vape yang bermula hari ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri komited memastikan pelaksanaan larangan itu tidak hanya bersifat simbolik, tetapi benar-benar memberi kesan positif kepada kesihatan awam.
“Kita berharap bermula 1 Ogos ini, rakyat Terengganu memberi kerjasama yang sepenuhnya dalam menjayakan dasar pengharaman penjualan vape yang telah kita umumkan sebelum ini. Ini bukan sekadar satu larangan, tetapi satu usaha membina generasi yang lebih sihat dan bebas daripada ketagihan,” katanya.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan bersama agensi penguatkuasaan lain telah bersiap sedia untuk menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh negeri.
“Agensi penguatkuasaan sentiasa bersedia untuk memulakan operasi pemantauan. Kita tidak berkompromi dengan mana-mana peniaga yang masih degil menjual vape selepas tarikh kuat kuasa,” katanya.
Selain aspek penguatkuasaan, Wan Sukairi turut menekankan pentingnya kesedaran masyarakat untuk menjayakan dasar ini.
“Kita tidak mampu berjaya tanpa sokongan rakyat. Sebab itu kerajaan berharap ibu bapa, guru-guru dan seluruh lapisan masyarakat akan memainkan peranan masing-masing dalam mendidik dan menyebarkan maklumat tentang bahaya vape,” ujarnya.
Beliau juga optimis Terengganu boleh menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam melaksanakan dasar berani demi kesejahteraan rakyat.
“Kita harap tindakan ini menjadi titik permulaan untuk kita melahirkan masyarakat yang benar-benar bebas vape dan lebih sihat, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk membina negeri yang sejahtera,” katanya. – UTUSAN










