KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan tapak tanah bagi pembangunan Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) telah dikenal pasti memastikan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) terus memiliki akses kepada kediaman yang inklusif dan berdaya huni di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, inisiatif pembangunan di tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai permintaan tinggi.
“Lapan lokasi dikenal pasti ialah Bandar Baru Sentul (0.57 hektar), Taman Desa (7 hektar) dan Pekan Salak Selatan (1.58 hektar).
“Selain itu, Jalan Selimang, Cheras (1.36 hektar), Tasik Permaisuri (0.41 hektar), Taman Alam Damai (0.45 hektar), Wayfield Sungai Besi (0.82 hektar) dan Taman Desa Seputeh (1.12 hektar),” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan mengenai perancangan kerajaan untuk memastikan golongan rentan di Kuala Lumpur terus mendapat akses kepada kediaman selamat.
Zaliha berkata, di bawah inisiatif Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040), PASS diperkenalkan sebagai langkah menyokong golongan terkesan seperti warga emas, ibu tunggal dan individu yang tidak berkemampuan membeli rumah di ibu negara.
Katanya, PTKL2040 turut menetapkan pelbagai strategi termasuk pewujudan Zon Kediaman R4 seluas 353.53 hektar khusus bagi pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam selain insentif nisbah plot kepada pemaju swasta yang menyediakan komponen Rumah Mampu Milik (RMM) dalam projek bercampur.
“Pembangunan RMM tidak boleh hanya mementingkan kuantiti semata-mata, sebaliknya perlu disepadukan dengan kemudahan asas seperti sekolah, klinik, ruang hijau dan pengangkutan awam supaya kualiti hidup lebih terjamin,” katanya.
Zaliha berkata, kerajaan turut melaksanakan pendekatan kerjasama rentas agensi termasuk bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu golongan asnaf memiliki rumah melalui konsep sewa beli (RTO).
Katanya, kerjasama dengan institusi kewangan juga digerakkan melalui skim pinjaman antara generasi yang membolehkan anak-anak membuat pinjaman bagi pihak ibu bapa yang sudah berusia dan tidak layak memperoleh pinjaman perumahan biasa.
Selain PASS, program lain seperti Residensi Madani, PR1MA, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) turut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada pelan menyeluruh untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya inklusif, mampan dan berdaya saing menjelang 2040. – UTUSAN










