Laksana kempen anti buli, bendung gejala dari peringkat sekolah

Laksana kempen anti buli, bendung gejala dari peringkat sekolah – Agong

SULTAN IBRAHIM menerima mengadap Fahmi Fadzil di Istana Negara.-FACEBOOK SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan titah agar kerajaan melaksanakan kempen anti buli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.

Seri Paduka bertitah, sekiranya tidak dibendung gejala buli ini sejak peringkat sekolah rendah, ia berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

Titah Sultan Ibrahim, buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.

“Anak-anak perlu diberi penerangan sejak dari usia kecil mengenai perkara ini dan menerusi kempen berkenaan akan membimbing mereka dalam memahami erti saling hormat menghormati dan berdisiplin,” titah Sultan Ibrahim.

Terdahulu, Seri Paduka berkenan menerima mengadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Istana Negara, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 untuk menangani buli turut membuktikan komitmen kerajaan untuk membanteras isu berkenaan secara tegas.

Seri Paduka bertitah, usaha berkenaan turut memerlukan pendekatan merentasi kementerian dan agensi bagi memastikan jenayah buli ditangani secara menyeluruh.

Pada sesi mengadap itu, Fahmi turut mempersembahkan komitmen kementerian dalam menangani isu buli serta tindakan-tindakan yang diambil bagi membanteras isu berkenaan.

Beliau juga mempersembahkan kepada Seri Paduka mengenai taklimat pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN