Kuih sopang mula dikenali ramai

Kuih sopang mula dikenali ramai

ZAINURIE Hussin menunjukkan kuih sopang jualannya di Kampung Godang, Terachi, Negeri Sembilan. – MINGGUAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Kuih sopang mungkin kurang dikenali, namun bagi masyarakat setempat sekitar negeri ini, juadah berasaskan tepung pulut dan dimasak bersama santan itu merupakan menu warisan yang kekal sehingga hari ini.

Salah seorang pembuatnya, Zainurie Hussin, 47, berkata, dia mengusahakan kuih tradisional itu sejak 2010 selepas mempelajari resipi daripada arwah ibu mentuanya.

“Mula-mula buat suka-suka sahaja, selepas ramai yang puji kuih sopang yang saya buat sedap, mereka mula menempah dan sejak dari itu saya serius buat kuih ini sampai sekarang.

“Pada awalnya, saya tidak tahu tentang kuih sopang, selepas mak mentua buat, sejak itu lah saya belajar cara pembuatannya secara tradisional,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Godang, Terachi di sini.

Menurut Zainurie, dia masih mengekalkan kaedah penyediaan secara tradisional bagi memastikan rasa asli kuih sopang tidak berubah.

“Saya hanya menggunakan santan asli, gula anau asli dan tidak menggunakan sebarang pewarna tiruan bagi menghasilkan kuih ini. Saya sangat mementingkan keaslian rasa kuih ini,” katanya.

Zainurie berkata, dia menggunakan sekurang-kurangnya 12 ki­logram (kg) tepung pulut dan 30 biji kelapa muda bagi menghasilkan lebih 1,000 biji kuih sehari, terutama pada hujung minggu.

Katanya, promosi yang dilakukan menerusi media sosial turut membantu memperkenalkan kuih sopang kepada pelanggan dari luar kawasan, khusus­nya generasi muda yang ingin mencuba makanan tradisional yang jarang ditemui.

“Pelanggan luar yang datang akan tanya dulu rupa macam mana. Saya akan beri mereka rasa dulu, selepas itu baru mereka akan beli dan ada yang datang kembali untuk membeli 10 hingga 15 bekas,” katanya.

Selain kuih sopang asli, Zainurie turut menghasilkan dua lagi variasi iaitu kuih sopang labu dan versi goreng yang juga mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN