PETALING JAYA: Satu siasatan dalaman akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan bagi menilai aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah susulan kemalangan yang melibatkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan tersebut akan dijalankan secara terperinci dengan melibatkan semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian berkenaan
Katanya, Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah yang seorang pelajarnya terbabit kemalangan, ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.
“Saya mengambil perhatian kemalangan yang membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini.
“Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital. Laporan kepada pihak polis telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Fadhlina berkata, beliau akan memastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini.
“Saya mendoakan supaya anakanda diberi kesembuhan segera dan keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.-UTUSAN










