KPM peruntuk RM8.4 juta sedia lencana Jalur Gemilang percuma kepada 5.14 juta pelajar - Utusan Malaysia

KPM peruntuk RM8.4 juta sedia lencana Jalur Gemilang percuma kepada 5.14 juta pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan sebanyak RM8.4 juta bagi membekalkan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada 5.14 juta pelajar di sekolah, Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu disalurkan kepada semua jabatan pendidikan negeri (JPN) dan institusi pendidikan terlibat pada Februari lalu, mengikut jumlah enrolmen murid dan pelajar di setiap negeri.

Katanya, proses perolehan dilaksanakan oleh pejabat pendidikan daerah (PPD), JPN dan institusi berkenaan melalui sistem ePerolehan sama ada secara tender atau sebut harga bergantung kepada peruntukan yang diterima.

“JPN turut diberi kebenaran melaksanakan perolehan mengikut zon bagi mempercepatkan proses pembekalan dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pembekal yang layak.

“Sebanyak 91 pembekal terlibat dalam membekalkan lencana Jalur Gemilang di seluruh negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai kos yang ditanggung kerajaan untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada semua murid di bawah institusi Pendidikan KPM serta syarikat yang membekalkan serta langkah yang diambil bagi menangani masalah keselamatan murid dan kerosakan pada pakaian seragam murid.

Bagaimanapun Fadhlina berkata, ibu bapa diberi kelonggaran menyediakan lencana tambahan bersaiz sama menggunakan bahan yang sesuai.

“KPM akan terus memantau pelaksanaan pemakaian lencana secara fleksibel di semua peringkat institusi pendidikan.

“Melalui pemakaian ini, semangat patriotisme dapat dizahirkan dan diharap meningkatkan pengetahuan serta rasa cinta terhadap negara dalam kalangan generasi Madani.

“Inisiatif itu juga selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 yang menekankan pembentukan jati diri dan nilai kenegaraan sebagai teras utama pembinaan sahsiah murid,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN