KPKT salur RM10.4 juta untuk 35 projek infrastruktur di Taiping - Utusan Malaysia

KPKT salur RM10.4 juta untuk 35 projek infrastruktur di Taiping

NGA KOR Ming beramah mesra bersama peniaga Pasar Siang Malam ketika Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 2025 di Taiping hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan tambahan RM10.4 juta bagi melaksanakan 35 projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di Taiping.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Program Pembangunan KPKT di bawah Rolling Plan 5 (RP5), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan lima agensi dan jabatan di bawah KPKT sebagai pelaksana utama.

Katanya, kesemua projek itu akan dilaksanakan segera dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

“Sebanyak RM4.1 juta diperuntukkan untuk sembilan projek naik taraf infrastruktur Bandar Taiping termasuk Pasar Am Kamunting, Pusat Penjaja Jalan Stesen Kamunting, naik taraf infrastruktur longkang di Jalan Kota dan sistem saliran di Jalan Kamunting Lama.

“Selain itu, peruntukan itu turut melibatkan kerja-kerja menaik taraf Parit Monsoon di Jalan Pakchik Ahmad, membina Arena Serbaguna, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) Majlis Perbandaran Taiping (MPT), projek tebatan banjir di Taman Kamunting Maju dan projek pencahayaan di Pasar Taiping,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Program Sentuhan Kasih KPKT 3.0 2025 di Pasar Lama Taiping, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh; Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Fadzli Mohd. Kenali; Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir.

Terdahulu, Kor Ming turut melawat Pasar Awam Kamunting, projek tebatan banjir di Taman Kamunting Maju dan Kampung Baru Aulong serta Laman Madani Taman Tasik Taiping yang terlibat dalam projek pengindahan air P Pancut Taman Tasik Taiping sebagai mercu tanda Sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping.

Mengulas lanjut beliau berkata, daripada keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM500,000 akan digunakan bagi pelaksanaan pembangunan landskap di Tanjung Sungai Mas manakala RM2.2 juta pula untuk kerja-kerja penyelenggaraan 22 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di sekitar Taiping.

“Selain itu, sebanyak 24 projek berkaitan inisiatif pembinaan rumah baharu dan pembangunan kampung baru akan dilaksanakan membabitkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN