Pulau Pinang nilai daftar durian Tupai King, Cenderawasih

Pulau Pinang nilai daftar durian Tupai King, Cenderawasih

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika merasmikan Program Durian Outreach 2025 di Rain Tree Farm, Taman Permatang Tinggi Indah, Machang Bubuk, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Durian Tupai King (D214) dan Durian Cenderawasih antara varieti baharu yang sedang dinilai kerajaan negeri sebelum didaftar bagi mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai pengeluar durian premium untuk pasaran antarabangsa.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah tersebut bukan sahaja dapat memperluaskan pilihan varieti tempatan malah berpotensi mengangkat Pulau Pinang sebagai destinasi utama agropelancongan durian di negara ini.

“Usaha ini akan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam peta durian negara dan membolehkan lebih banyak varieti tempatan memasuki pasaran global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Durian Outreach 2025 di Rain Tree Farm, Taman Permatang Tinggi Indah, Machang Bubuk, Bukit Mertajam dekat sini, semalam.

Menurut Kon Yeow, kejayaan memperkenalkan Durian Tokun Top (D220) dari Cherok Tokun, Seberang Perai Tengah (SPT) sebelum ini telah membuktikan kemampuan sektor pertanian negeri bersaing dalam pasaran durian premium di peringkat antarabangsa termasuk Thailand dan China.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, Jabatan Pertanian juga bercadang untuk mendaftarkan varieti durian kampung di negeri ini.

“Langkah ini bertujuan menambah nilai durian di peringkat akar umbi, menarik minat penggemar serta meningkatkan hasil pengusaha tempatan,” katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri kini sedang membangunkan Penang Durian Valley@Relau sebagai hab penyelidikan dan pendidikan durian yang dijangka siap pada suku pertama 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN