PETALING JAYA: Kenaikan kos sara hidup di Arab Saudi memberi kesan berantai kepada peningkatan kos ibadah umrah dan haji di seluruh dunia termasuk Malaysia sekali gus memberi tekanan besar khususnya kepada bakal jemaah haji.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, lonjakan harga dalam sektor penginapan, makanan, pengangkutan dan perkhidmatan tempatan di Arab Saudi menjadi punca peningkatan kos yang ditanggung jemaah.
“Kenaikan mendadak sewa hotel di Makkah dan Madinah khususnya yang berhampiran Masjidil Haram dan Nabawi adalah antara penyumbang utama. Ini berpunca daripada inflasi tempatan dan permintaan tinggi yang tidak seimbang dengan penawaran sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, kos penyelenggaraan kenderaan, minyak dan caj pengangkutan seperti bas serta teksi turut meningkat sehingga menjejaskan perjalanan antara lokasi ibadah.
“Peniaga di sana juga menaikkan harga makanan dan keperluan harian selain pelaksanaan cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 15 peratus yang memberi impak besar terhadap sektor pelancongan dan keagamaan,” ujarnya.

Bashir Ahmad berkata, jika dibandingkan kos umrah sekitar RM6,000 hingga RM6,500 pada 2020, kini ia melonjak kepada RM9,000 hingga RM9,500 iaitu peningkatan hampir 40 peratus. Malah, VAT sahaja dikatakan menyumbang sehingga RM1,500 bagi setiap jemaah.
Katanya, lonjakan kos ibadah itu memberi kesan ketara kepada golongan B40 dan M40 terutama dengan pendapatan purata sekitar RM3,000 sebulan dan keupayaan menyimpan RM150 sebulan atau lima peratus daripada pendapatan.
“Dengan simpanan sebanyak itu, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk mengumpul dana bagi seorang atau 10 tahun jika bersama pasangan. Bagi ibadah haji pula, tempoh menunggu boleh mencecah 20 hingga 40 tahun mengikut kadar simpanan ini.
“Ini belum mengambil kira kemungkinan inflasi dan cukai di Arab Saudi akan terus meningkat dalam lima hingga 10 tahun akan datang serta tekanan ekonomi domestik di Malaysia yang memerlukan mereka bekerja keras demi kelangsungan hidup,” katanya.
Mengulas peranan Tabung Haji (TH), Bashir Ahmad memuji komitmen agensi itu yang masih meneruskan bantuan kewangan haji meskipun berdepan tekanan kos dari Arab Saudi.
“Bantuan Kewangan Haji melebihi RM10,000 seorang ini memberi harapan kepada rakyat, namun pendekatan ini tidak lestari jika tiada perancangan jangka panjang.
“Jika keadaan ini berlarutan, TH berisiko mengalami defisit rizab atau memerlukan campur tangan kerajaan melalui dana awam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr. Fathir Badri Alhadad berkata, faktor utama peningkatan kos umrah adalah permintaan sangat tinggi ketika ini selaras langkah Arab Saudi yang memperkenalkan pelbagai kemudahan untuk menarik jemaah dari seluruh dunia menunaikan umrah dan ziarah bersempena Wawasan 2030.

“Apabila jumlah jemaah meningkat secara mendadak, permintaan terhadap penginapan seperti hotel turut melonjak. Ini menyebabkan harga sewa terutama berhampiran Masjidil Haram dan Masjid Nabawi juga meningkat,” jelasnya.
Fathir Badri berkata, walaupun terdapat agensi menawarkan pakej di bawah RM5,000, jemaah perlu sedar bahawa penginapan yang disediakan biasanya terletak jauh dari kawasan masjid utama.
“Bagi musim puncak, harga pakej umrah yang ideal adalah sekitar RM7,000 contohnya pada bulan Disember, cuti hujung tahun di banyak negara mendorong lebih ramai umat Islam menunaikan umrah sekali gus meningkatkan permintaan,” katanya.
Bagi penjawat awam yang pernah menunaikan haji, Nur Fasehah Abdul Rashid, 26, pengalaman menunaikan ibadah itu meyakinkan beliau bahawa persediaan kewangan yang rapi adalah kunci utama.
Jelasnya, simpanan awal bukan sahaja membantu menampung kos asas, tetapi juga menyediakan dana tambahan untuk keperluan peribadi sepanjang berada di Tanah Suci.
“Saya mula menyimpan secara konsisten di TH sejak awal dan menetapkan bajet bulanan khas untuk tujuan menunaikan haji. Nilai mata wang dan kos perkhidmatan di sana memang memberi kesan besar.
“Sistem pendaftaran haji TH yang memerlukan baki minimum RM1,300 sangat membantu mendidik kita supaya merancang awal. Keuntungan tahunan yang diagihkan turut memberi motivasi untuk terus menabung,” ujarnya.
Malah, beliau juga menasihatkan umat Islam agar tidak menunggu saat akhir untuk menyimpan.
“Konsistensi lebih penting daripada jumlah besar. Walaupun sedikit, jika bermula awal, ia memberi ketenangan minda kerana kita bersedia dari segi kewangan apabila dipanggil menjadi tetamu Allah,” katanya. – UTUSAN