ALOR GAJAH: Kos mengerjakan ibadah haji untuk tahun depan akan diumumkan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 22 Oktober atau Rabu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pengumuman itu akan dilakukan Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Menurutnya, selepas pengumuman, TH akan mengeluarkan surat tawaran kepada bakal jemaah secepat mungkin.
“Daripada maklumat yang diperolehi kos mengerjakan haji yang akan diumumkan nanti dijangka tidak akan membebankan bakal jemaah haji untuk tahun depan.
“Namun kita tengoklah nanti sama ada kos yang akan diumumkan kekal ataupun naik ataupun turun. Jadi bila kos telah diumumkan nanti saya harap TH segera mengeluarkan surat tawaran kepada bakal jemaah.
“Saya amat berharap surat tawaran untuk mengerjakan haji tahun depan tidak lagi ditolak oleh bakal jemaah seperti mana yang berlaku tahun ini, susulan komitmen kerajaan mengekalkan kadar subsidi sedia ada,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) di Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini, semalam.
Mohd. Na’im berkata, TH mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kadar peratusan bakal jemaah yang menolak tawaran seperti yang berlaku tahun ini.
Katanya, data terkini bakal jemaah haji untuk tahun depan telah dikemaskini bagi membolehkan TH mengenal pasti hanya mereka yang benar-benar layak dipilih.
“Seperti tahun ini ramai jemaah tidak dapat dikenal pasti hingga menyebabkan peratusan yang menolak begitu tinggi dan kita cuba mengurangkannya bagi tahun depan,” katanya. – UTUSAN










