KKR dapatkan laporan penuh kemalangan di Jalan Mokhtar Dahari

KKR dapatkan laporan penuh kemalangan di Jalan Mokhtar Dahari

Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi merasmikan Konvensyen Kejuruteraan Kebangsaan 2025 (NEC) di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mendapatkan laporan penuh berhubung kes kemalangan maut di Jalan Mokhtar Dahari, Selangor baru-baru ini sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya tidak mahu membuat kesimpulan awal termasuk dakwaan ia berpunca daripada aktiviti kuari berhampiran laluan berkenaan.

“Setakat ini saya tidak menerima maklumat terperinci berhubung insiden itu. Jadi saya tidak mahu buat andaian sehingga laporan lengkap diperoleh,” katanya  selepas merasmikan program Konvensyen Kejuruteraan Nasional 2025 (NEC 2025) di sini hari ini.

Alexander menegaskan, Jalan Mokhtar Dahari dipercayai terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor dan penyelenggaraan sepenuhnya adalah tanggungjawab syarikat konsesi dilantik.

“Jika kemalangan itu benar berlaku disebabkan keadaan jalan yang rosak atau berpasir, syarikat konsesi berkenaan perlu mengambil tindakan segera membaikinya,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, kemalangan maut melibatkan seorang penunggang motosikal di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, Selasa lalu sepatutnya boleh dielakkan sekiranya laluan berkenaan diselenggara dengan baik.

Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi berkata, keadaan jalan yang dipenuhi pasir serta tanah dipercayai berpunca daripada aktiviti kuari berhampiran.

Dalam pada itu Alexander berkata, walaupun penyelenggaraan jalan negeri bukan di bawah kementeriannya, pihaknya sedia memberikan bantuan teknikal sekiranya diminta oleh kerajaan negeri.

“Di peringkat kementerian, kami ada jurutera daerah yang boleh membantu. Tetapi kuasa mutlak tetap terletak pada kerajaan negeri dan syarikat konsesi yang dilantik,” katanya.

Menurut beliau, keutamaan sekarang adalah memastikan laluan tersebut segera diperiksa dan dibaiki bagi mengelakkan kemalangan lain berlaku pada masa akan datang.

“Sama ada kerosakan jalan, keadaan berbatu atau pasir akibat aktiviti berhampiran, apa sahaja faktor yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna mesti ditangani segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN