PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mendesak Ketua Polis Negara menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kelemahan dalam proses siasatan polis di Sabah berhubung kematian Zara Qairina Mahathir.
Ketua Portfolio Pendidikan PN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ia perlu merangkumi pengenalpastian individu yang terlibat dalam siasatan berkenaan serta pihak yang mengeluarkan arahan yang membawa kepada kelemahan tersebut.
“Siasatan juga perlu menyiasat sama ada terdapat campur tangan mana-mana pihak luar dalam pasukan polis, sama ada secara langsung atau tidak langsung yang menyebabkan kelemahan dalam siasatan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Saifuddin berkata, siasatan wajib mengkaji sama ada kelemahan itu melibatkan pelanggaran Seksyen 201 Kanun Keseksaan (KK) yang berkaitan dengan kesalahan menghilangkan keterangan kesalahan atau memberi maklumat palsu bagi melindungi pesalah daripada tindakan undang-undang.
Katanya, tindakan tatatertib atau hukuman yang sesuai perlu dikenakan ke atas mana-mana individu dalam pasukan polis atau pihak luar yang didapati melakukan salah laku atau pelanggaran tatacara berkaitan kelemahan siasatan tersebut.
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu.
Pada 31 Julai, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian berkenaan. – UTUSAN










