Ketepikan perbezaan demi perpaduan Malaysia

Ketepikan perbezaan demi perpaduan Malaysia

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) dalam Konvoi Kembara Merdeka Akar Umbi 2.0 di Perhentian Bas Simpang Pertang, Jelebu, Negeri Sembilan, semalam. – FACEBOOK AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Rakyat Malaysia perlu mengetepikan segala perbezaan politik, agama, bangsa dan budaya demi memastikan kemerdekaan yang diraih lebih enam dekad lalu terus berkekalan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan etnik diminta menyatukan fikrah atas semangat jiwa yang merdeka.

“Untuk hari kemerdekaan ini, kita ketepikan warna-warna dan pegangan politik kita. Demi negara, kita satukan fitrah atau pemikiran kita. 

“Kita ketepikan perbedaan agama, perbedaan bangsa dan juga budaya. Ini negara kita. Di mana bumi dipijak, di situ langit kita junjung,” katanya kepada pemberita sempena Program Kembara Merdeka Akar Umbi 2.0 di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata, pelbagai pendekatan boleh dilakukan untuk memanifestasi sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini dan Hari Malaysia pada 16 September nanti.

Beliau berkata, hal itu termasuk menyertai aktiviti konvoi bermotosikal bagi meraikan sambutan sekali gus memperkukuh jalinan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Untuk orang muda, kita kena tahu cita rasa mereka yang merupakan pendukung pada generasi yang kita bina akan datang. Cita rasa mereka juga berbeza dengan cita rasa orang lama.

“Jadi, kita harus memahami keperluan mereka. Kalau mereka menunggang ‘kapcai’ untuk memperlihatkan dukungan Hari Kebangsaan, maka kita ‘kapcaikan’ diri kita untuk bersama-sama dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan menerusi agensi Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sentiasa melaksanakan pemantauan berterusan serta bersiap siaga menghadapi gempa bumi di negara ini.

Katanya, rakyat khususnya penduduk Segamat, Johor diminta tidak panik susulan kejadian gempa bumi lemah yang direkodkan berlaku sebanyak enam kali di lokasi tersebut sejak minggu lalu.

Menurutnya, penduduk juga diminta untuk melakukan solat hajat dan berdoa kepada Allah agar dijauhkan dari segala malapetaka yang lebih besar.

“Saya telah melaporkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri. Saya telah diberitahu oleh Ketua Pengarah MetMalaysia dan JMG, pemantauan akan terus dilakukan. 

“Insya-Allah, kesiapsiagaan untuk seluruh penduduk Segamat dan Johor pada amnya akan terus dipantau Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Pusat.

Segamat sekali lagi dilanda gempa bumi untuk kali keenam dalam tempoh seminggu pada pagi semalam. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, gempa bumi lemah telah berlaku di Segamat, Johor pada pukul 7:29 pagi dengan gegaran berlaku dengan magnitud 2.7 manakala jarak 2km Barat Laut dari Segamat serta kedalaman 10 km.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN