Kesedihan itu kekal, tetapi hidup perlu diteruskan

Kesedihan itu kekal, tetapi hidup perlu diteruskan – Ibu mangsa buli

SITI HAMIDAH JUMARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAHAD DATU: Walaupun keputusan telah ditegakkan, ke­sedihan itu tetap kekal kerana Nazmie tetap tidak akan kembali lagi.

Itu luahan Siti Hamidah Jumari, 46, ibu kepada Mohamad Nazmie Aizzat Mohd. Narul Azwan, 17, pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) yang meninggal dunia akibat dibuli di asrama kolej itu pada Mac tahun lalu.

Menurut Siti Hamidah, walaupun reda dengan keputusan itu, kehilangan anak keduanya daripada tiga beradik itu tetap meninggalkan kesan mendalam yang sukar dipadam.

“Arwah seorang anak yang ceria, rumah sentiasa meriah dan bising bila dia ada. Kini semuanya berubah. Hanya kena­ngan yang tinggal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, kali terakhir melawat pusara anaknya adalah sebulan lalu kerana kesibukan kerja, namun dia berhasrat membersihkan kawasan kubur dalam masa terdekat.

“Biasanya kalau tidak sibuk saya akan ke sana. Jalan ke kawasan kubur masih sama, lama tidak dibersihkan. Saya kerja syif malam di Skynet, jadi agak terbatas masa,” jelasnya.

Mengimbas memori bersama arwah, Siti Hamidah menyimpan beg sekolah anaknya sebagai kenangan paling berharga, selain menjadikan gambar Nazmie sebagai latar skrin te­lefon.

Tambahnya, selepas pemergian Nazmie, hanya beberapa rakan sekolah yang masih berhubung dengannya melalui aplikasi WhatsApp, manakala guru yang pernah hadir ke rumah hanyalah ketika awal kejadian bagi menyampaikan bantuan insurans dan barang-barang milik arwah.

“Kalau cuti sekolah, arwah rajin memasak. Masakan kari arwah jadi kegemaran keluarga. Itu antara kenangan yang paling kami rindui.

“Sebagai ibu, orang lain tidak akan rasa apa yang saya rasa. Luka ini tetap ada sampai bila-bila,” katanya dalam nada pilu.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang bekas pelajar KVLD, manakala 12 lagi pesalah muda yang terlibat dalam kejadian sama dihukum penjara sehingga mendapat pengampunan Yang Dipertua Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN