PETALING JAYA: Majlis Media Malaysia (MMM) menggesa semua organisasi media supaya mematuhi sepenuhnya kod etika kewartawanan dan prinsip perlindungan kanak-kanak terutamanya berkaitan liputan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
MMM dalam kenyataannya berkata, etika itu termasuk tidak menyiarkan butiran yang boleh mengenal pasti atau memberi stigma kepada mangsa dan keluarga.
Katanya, laporan yang bertanggungjawab perlulah menekankan aspek keadilan dan kepentingan awam, bukannya eksploitasi mahupun keuntungan.
“Memandangkan kes ini melibatkan seorang kanak-kanak, media mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan laporan adalah tepat, beretika dan penuh kepekaan.
“MMM mengingatkan semua organisasi media dan pengamalnya bahawa kanak-kanak tidak boleh dijadikan bahan liputan sensasi, soal siasat yang melampau atau pendedahan yang boleh membawa kepada trauma atau bahaya tambahan.
“Dalam kes buli serta inkues yang melibatkan individu bawah umur, maruah, privasi dan keselamatan kanak-kanak mesti sentiasa diutamakan selaras dengan hak mereka untuk mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611),” katanya.
Sementara itu, MMM turut menzahirkan kebimbangan berhubung laporan daripada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) semasa sidang media inkues kes Zara Qairina baru-baru ini.
“Menurut SJA, individu tidak bertauliah telah memasuki zon media, berdiri terlalu dekat dengan wartawan wanita, mengganggu liputan dan kemudian menjana keuntungan melalui siaran langsung tidak rasmi.
“Perkara ini membahayakan keselamatan wartawan, menjejaskan laporan profesional serta mengelirukan orang awam,” katanya.
MMM menyeru semua media agar berlapang dada, berdisiplin dan profesional dalam melaporkan kes itu dan menegaskan bahawa kewartawanan beretika adalah satu-satunya jalan untuk melindungi golongan rentan serta menjaga integriti profesion kewartawanan. – UTUSAN










