GEORGE TOWN : Polis mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Kepala Batas akan dirujuk ke Putrajaya bagi mendapatkan arahan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata, terdahulu, kertas siasatan tersebut telah dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Pulau Pinang kira-kira pukul 2.30 petang tadi.
Katanya, TPR negeri turut mengarahkan supaya kertas siasatan berkenaan ditinggalkan bagi tujuan semakan.
“Kertas siasatan ini seterusnya akan dirujuk ke Putrajaya untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Anuar sebelum itu memaklumkan bahawa seorang pemilik kedai berusia 59 tahun yang ditahan polis malam Sabtu lalu bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis, petang semalam.
Katanya, polis juga telah merekodkan keterangan lebih 10 individu berhubung kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 5, Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Sabtu lalu, tular satu rakaman video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang individu mengibarkan Jalur Gemilang pada sebatang besi dalam keadaan terbalik di Kepala Batas sehingga mengundang kecaman daripada pelbagai pihak termasuk netizen serta pemimpin politik.-UTUSAN