PETALING JAYA: Pembukaan semula kuota pengambilan pekerja asing bagi sektor pertanian, perladangan, perlombongan serta 10 subsektor perkhidmatan menunjukkan kerajaan tidak serius menangani isu lambakan pekerja asing di negara ini.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuka permohonan kuota sehingga 31 Disember ini hanya akan menambah jumlah pekerja asing yang kini hampir mencecah tiga juta pekerja dan memburukkan masalah sedia ada.
Katanya, KDN sepatutnya merujuk terlebih dahulu kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hal ehwal tenaga kerja.
Malah beliau berkata, Kesuma juga mempunyai akta dan peraturan jelas bagi memastikan sebarang pengambilan pekerja asing benar-benar berpandukan keperluan sebenar industri.
“Isu keperluan tempat tinggal, kawalan pekerja, pembayaran gaji serta majikan berdaftar perlu diberi keutamaan. Malangnya, masalah pekerja asing yang semakin meningkat masih gagal ditangani sehingga hari ini.
“Tindakan membuka semula kuota baharu hanya akan memburukkan keadaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kerajaan bersetuju membuka semula permohonan kuota pekerja asing, namun terhad kepada sektor dan subsektor tertentu sahaja.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi tiga sektor utama iaitu pertanian, perladangan dan perlombongan serta 10 subsektor terpilih kini dibuka hingga 31 Disember ini.
Abdul Halim berkata, kemasukan pekerja asing tanpa kawalan akan memberi kesan kepada pekerja tempatan yang masih berdepan kos sara hidup tinggi dengan gaji minimum RM1,700.
“Majikan lebih cenderung mengambil pekerja asing kerana kos mereka jauh lebih murah. Mereka tidak diwajibkan membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 13 peratus, selain tidak perlu membayar elaun, bonus atau kerja lebih masa. Malah, ramai pekerja asing digajikan sehingga 12 jam sehari tanpa bayaran tambahan.
“Sebaliknya, pekerja tempatan perlu dibayar gaji minimum, elaun kehadiran, elaun syif serta bayaran lebih masa pada kadar 1.5 jam. Ini menjadikan pekerja tempatan dilihat lebih ‘mahal’, lalu menimbulkan diskriminasi terhadap mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, keadaan itu bukan sahaja menekan pekerja tempatan tetapi juga membuka ruang eksploitasi terhadap pekerja asing yang tidak dilindungi dengan sewajarnya.
Jelasnya, Malaysia merupakan anggota Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang telah menerima pakai Decent Work Country Programme (DWCP) yang menetapkan standard pekerjaan adil merangkumi latihan, pengiktirafan vokasional, reskilling dan multiskilling.
“Tindakan kerajaan yang terus membuka ruang kepada pekerja asing bercanggah dengan komitmen DWCP. Sebaliknya, majikan perlu digalakkan melabur dalam teknologi tinggi dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh manual supaya taraf Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi dapat ditingkatkan.
“Kerajaan seharusnya menghentikan pengambilan tenaga kerja asing dan hanya membenarkan pelaburan industri berteknologi tinggi yang mampu menjana pekerjaan berkualiti untuk rakyat tempatan,” katanya. – UTUSAN










