Kerajaan GRS selesaikan masalah Warisan tinggalkan, bukan buat janji kosong

Kerajaan GRS selesaikan masalah Warisan tinggalkan, bukan buat janji kosong

NIZAM Abu Bakar Titingan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk di Kampung Batu Payung, Tawau, hari ini. - UTUSAN/BESSE AISYAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) berbeza dengan pentadbiran terdahulu kerana bekerja menyelesaikan masalah rakyat, bukannya sekadar membuat janji kosong.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pentadbiran Parti Warisan (Warisan) gagal menangani isu asas seperti kerosakan jalan raya, gangguan bekalan air dan masalah elektrik sehingga meninggalkan beban besar kepada kerajaan hari ini.

“Kerajaan Warisan ketika itu jelas tidak mempunyai hala tuju dan gagal membawa kemajuan kepada negeri. Akhirnya rakyat yang menanggung kesannya.

“Perbezaannya sekarang ialah kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor bekerja untuk rakyat, menyelesaikan masalah yang sekian lama dibiarkan, bukan hanya membuat janji manis,” katanya selepas merasmikan Program Kesedaran Kesihatan anjuran Persatuan Kebajikan Ibu-Ibu Sabah (PKIS) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tawau dan KRT Kampung Batu Payung, di sini hari ini.

Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah berkata, kerajaan sedia ada bukan sahaja memulihkan kelemahan lama secara berperingkat, malah melaksanakan pelbagai inisiatif baharu, termasuk projek pembangunan di kawasan luar bandar yang memberi manfaat terus kepada rakyat.

Program yang turut disertai penduduk Kampung Membalua dan Kampung Tinagat itu memberi penekanan kepada kaedah pengurusan stres dan kepentingan menjaga kesihatan mental, selain mengeratkan hubungan masyarakat setempat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Nizam yang juga Ketua Zon 12 berkata semua jentera parti di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tawau dan Kalabakan kini bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Kita yakin calon yang diketengahkan adalah tokoh berwibawa, disukai rakyat dan berpeluang besar untuk menang. Keyakinan terhadap kerajaan sedia ada menjadi kelebihan utama pada PRN nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN