KUALA LUMPUR: Tiada campur tangan pihak luar dalam setiap keputusan yang dibuat pihak kerajaan, sebaliknya semua perkara diputuskan secara kolektif dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau yang hadir hampir setiap mesyuarat Kabinet menolak dakwaan kononnya ada pengaruh pihak lain dalam menentukan keputusan kerajaan.
Katanya, setiap perbincangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri adalah rahsia besar di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Langsung tidak ada. Saya hadir hampir setiap mesyuarat Jemaah Menteri dan keputusan yang dibuat adalah keputusan yang diputuskan dalam Jemaah Menteri, tidak ada selain daripada itu. Itu bagi saya tidak benar.
“Keputusan Jemaah Menteri adalah berstatus rahsia besar. Sekiranya ada tuduhan oleh mana-mana pihak, maka boleh dibuat laporan polis dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika diminta mengulas dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam platform audio siar Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri?, semalam, ada campur tangan pihak luar dalam urusan kerajaan.
Tambah Fahmi, kewujudan video yang dimaksudkan itu juga tidak diketahui dan masih belum ditonton.
“Saya tidak tonton, saya tidak tahu pun sehingga puan (media) tanya saya tadi. Saya belum mendengar hal ini,” katanya.-UTUSAN










