PETALING JAYA: Kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh yang mahu ‘berkunjung’ ke premis perniagaan ekoran isu pemasangan Jalur Gemilang terbalik dilihat sebagai satu bentuk ancaman terhadap keharmonian dan keamanan negara.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu juga dianggap sebagai kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan termasuk ugutan jenayah (Seksyen 503) iaitu menghina dengan sengaja (Seksyen 504) serta mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa kepada khianat awam (Seksyen 505) dan pencerobohan jenayah.
Malah katanya, Muhammad Akmal juga dilihat sengaja mencipta kemarahan dan membesar-besarkan isu kecil demi kepentingan politik.
“Kerajaan mesti campur tangan dan mengambil tindakan. Mereka tidak boleh terus berdiam diri.
“Kerajaan Madani, yang sepanjang pentadbirannya menyeru kepada perpaduan kaum, tidak boleh membiarkan salah seorang pemimpinnya terus mencetuskan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .
Sebelum ini, Muhammad Akmal menerusi satu hantaran di Facebook berkata, beliau akan berkunjung ke sebuah premis perniagaan di Pulau Pinang selepas tular video yang menunjukkan pemiliknya memegang bendera secara terbalik pada sebatang tiang.
Dalam pada itu, Zaid berkata, tindakan Muhammad Akmal itu juga bukan hanya sekadar membuli, sebaliknya tindakan terburu-buru sebagai penguat kuasa sendiri selain satu seruan terbuka untuk mengajak melakukan tindakan berbahaya secara beramai-ramai.
“Ia tidak boleh diterima, berbahaya dan bersifat memecah belahkan kaum. Sungguh mengejutkan bagi semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras bahawa seorang ADUN dan anggota kerajaan Madani dibenarkan menghasut orang ramai dan mengumpulkan orang ramai untuk menakut-nakutkan serta mengganggu seorang rakyat biasa atas alasan tidak munasabah kononnya mahu ‘mendidik’ beliau.
“Di manakah suara para pemimpin Madani dalam hal ini? Adakah mereka menganggap tingkah laku seperti ini boleh diterima,” jelasnya. – UTUSAN










