‘Kenapa saya perlu putus asa?’ - Utusan Malaysia

‘Kenapa saya perlu putus asa?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya sedar, saya tidak mempunyai ramai peminat seperti rakan-rakan lain.”

Itulah ungkapan yang tidak lekang di bibir penyanyi yang bertubuh genit, Wani Kayrie. Mungkin bagi sesetengah selebriti usia 15 tahun dalam industri seni itu sudah mampu membuat mereka menghela nafas lega dengan populariti yang dikecapi.

Namun, bagi Wani atau Syazwani Abdullah, dia masih perlu menggandakan usahanya untuk meningkatkan nama dan pencapaian diri sebagai penyanyi.

“Melihat rezeki rakan-rakan seperjuangan yang ceburi industri seni selepas saya jauh lebih ke hadapan, tidak memberi kesan terhadap saya sama sekali.

“Meskipun agak panjang, saya lebih seronok melalui proses dan perjalanan seni ini sekarang kerana saya dapat belajar banyak perkara dan timba pengalaman daripada senior.

“Penyanyi seperti Marsha Milan, Mimi Fly dan Stacy yang dulunya pernah berada di posisi saya juga mengakui mereka juga mengikuti perjalanan hidup saya. Namun, mereka berpesan supaya saya terus bertahan kerana ‘hari’ itu pasti tiba,” katanya kepada Pancaindera.

Optimis bahawa suatu hari nanti namanya akan dijulang seangkatan dengan rakan seperjuangan lain, penyanyi kelahiran Sabah itu menganggap dirinya kini hanya menimba pengalaman sebanyak mungkin.

“Saya setuju dengan kenyataan pengalaman mematangkan, malah saya bersyukur sentiasa ada peluang untuk belajar perkara baru dari orang lama walaupun sudah lama dalam industri.

“Sepanjang bergelar anak seni juga saya sudah bekerja dengan orang yang berlainan. Bahkan, jika berlaku sebarang masalah, saya juga sudah tahu cara untuk mengendalikan masalah itu dengan cara yang berbeza.

“Alhamdulillah, walaupun saya tidak viral atau mempunyai pencapaian yang tinggi seperti orang lain, saya rasa dengan kekal relevan itu sudah cukup membuatkan orang rasa saya masih ada nilai dalam industri.

“Bagi saya konsistensi dan relevansi itu lagi penting daripada populariti yang mungkin hanya boleh meningkat sekali sahaja namun, boleh menurun bila-bila masa saja,“ jelasnya.

Sedih Orang Tidak Cuba Faham Usaha Saya

Tampak kuat mengharungi perjalanan seni yang telah dibina sejak usianya 10 tahun, Wani mengakui hatinya juga rapuh apabila usaha kerasnya dipandang remeh bahkan tidak dihargai oleh pihak tertentu.

Namun, penyanyi yang berusia 25 tahun itu tidak pernah sesekali menganggap setiap pengorbanannya dalam menghasilkan karya yang terbaik adalah perkara yang sia-sia.
“Saya rasa sedih sebab orang tidak cuba

fahami usaha saya. Saya yakin setiap penyanyi mahu karya mereka dihargai dan diterima setiap kali muncul lagu baharu.

“Namun, bila ada yang mengecam dan menganggap karya yang dihasilkan tidak berkualiti, saya rasa mereka tidak faham maksud lagu dan tujuan saya hasilkan lagu-lagu sebegitu.

“Mereka yang mengikuti kerja saya pasti tahu, saya suka lagu rancak dan akan menari setiap kali membuat persembahan.

“Lebih menyedihkan, sebagai penyanyi saya harus penuhi kehendak pendengar dan tiada ruang untuk menjadi diri sendiri,” luahnya.

Dalam masa sama, penyanyi yang baru melancarkan album terbaharunya yang berjudul W2K itu tidak mengambil pusing dengan kecaman netizen sebaliknya mahu terus berkarya mengikut apa yang diminatinya.

“Saya tetap akan kekalkan identiti saya dengan menyanyikan lagu rancak dan catchy. Itu adalah jiwa saya sebab itu juga rata-rata lagu dalam album baharu saya adalah lagu rancak.

“Namun, saya juga mengambil cabaran untuk hasilkan satu lagu balada demi penuhi permintaan peminat yang secara tidak langsung diterima dengan baik.

“Saya bersyukur meskipun sudah lama berkecimpung dalam industri muzik, saya juga mampu membawakan pelbagai genre lagu.

“Saya menganggap penglibatan saya menerusi pelbagai pertandingan sebelum ini menjadi punca saya dapat berpeluang menyanyikan pelbagai genre lagu dengan baik,” kongsinya.

 

Kenapa Saya Perlu Putus Asa?

Ditanya sejauh mana dirinya mampu bertahan dalam mengharungi pasang surut sebagai seorang penyanyi, Wani menyerahkan segalanya pada takdir dan ketentuan Ilahi.

Pun begitu, dia juga enggan meletakkan titik noktah terhadap perjalanan seninya yang telah dibina atas dorongan ibu tercinta, Rukiah Kalapukong sejak 2015.

“Saya tidak boleh menjangka selama mana saya mampu bertahan dalam industri ini. Segalanya bergantung pada rezeki. Pernah juga saya terfikir untuk putus asa.

“Mengenangkan saya sudah lakukan perkara ini sejak kecil dan memang kerana minat saya terus cuba bertahan. Lagipun individu yang menjadi pendorong saya ceburi bidang ini adalah ibu saya.

“Jadi, kenapa saya perlu putus asa hanya kerana saya tidak dapat apa yang saya mahu? Sebab itu juga saya teruskan hingga sekarang sebab saya tahu jika kita buat benda yang kita minat, rezeki

itu akan datang dari mana-mana sudut pun,” jelasnya.

 


Tambah Wani, kerjaya seninya kini bukan sahaja terletak pada bidang nyanyian, malah dia juga mengambil langkah berani untuk menjadi tenaga pengajar di studio tarian yang diusahakan bersama ibunya.

Kata Wani, itu adalah salah satu usahanya untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penggiat seni tanah air selain mahu melahirkan pelapis baharu di masa hadapan.

“Di studio itu saya bukan tumpu pada menari sahaja, tetapi di situ juga saya ada kelas vokal dan modelling yang mengajar beberapa kanak-kanak yang mahu mula menyanyi.

“Saya buka studio itu sebab industri ini masih perlukan pelapis. Jadi, saya cuba melatih mereka dari sekarang. Di masa akan datang jika menyanyi, saya sudah mempunyai kumpulan penari saya sendiri,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN