Kenaikan umur persaraan beri kesan terhadap pasaran kerja - Utusan Malaysia

Kenaikan umur persaraan beri kesan terhadap pasaran kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun memberi pelbagai kesan kepada aliran tenaga kerja dan peluang pekerjaan sama ada sektor awam serta swasta.

Pensyarah Kanan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, kenaikan mendadak boleh mengehadkan peluang perjawatan, melambatkan kenaikan pangkat dan menyekat ruang kepimpinan muda.

Menurutnya, ia juga memberi kesan jangka panjang ekonomi yang bergantung kepada keseimbangan antara mengekalkan pekerja berpengalaman dan laluan generasi muda untuk tampil membawa idea baharu terutama dalam bidang digital serta kecerdasan buatan (AI).

“Inovasi tidak semestinya bergantung kepada penggantian generasi, sebaliknya memerlukan pasukan pelbagai usia. Data global membuktikan gabungan tenaga muda dan pekerja senior berpengalaman mampu menghasilkan inovasi lebih berkesan.

“Tekanan ke atas gaji siswazah baharu mungkin berlaku sekiranya syarikat menangguhkan pengambilan pekerja kerana mahu mengekalkan pekerja senior. Namun, program perantisan dan kuota pengambilan graduan boleh mengurangkan kesan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini akhbar ini melaporkan, golongan muda menolak cadangan menaikkan umur persaraan wajib kepada 65 tahun kerana ia hanya menyebabkan lambakan graduan dan menjejaskan peluang mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Nik Maheran berkata, produktiviti negara boleh meningkat dengan pengalaman pekerja senior yang mampu mengurangkan kesilapan berkos tinggi, mempercepat masa ke pasaran dan menyumbang jaringan luas dalam sektor ekonomi.

Katanya, namun tanpa reka bentuk pasaran kerja seimbang, risiko keengganan syarikat memperbaharui proses dan menolak pengambilan golongan pekerja muda boleh melemahkan inovasi generasi muda, sekali gus menjejaskan produktiviti jangka panjang.

“Kita bimbang jika syarikat enggan memperbaharui proses dan kurang mengambil pekerja muda, ia akan melemahkan inovasi sekali gus menjejaskan produktiviti negara dalam jangka masa panjang,” katanya.

Pakar ekonomi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. L. Nanthakumar berkata, persepsi bahawa pekerja senior kurang inovasi harus dielakkan kerana generasi tersebut mampu bergerak seiring teknologi jika diberikan ruang bergandingan dengan pekerja muda dalam sektor ekonomi utama negara.

“Polisi pengambilan pekerja boleh diseimbangkan dengan mewajibkan syarikat mengambil tenaga muda untuk dibimbing pekerja senior. Ia menjamin pemindahan ilmu, pengalaman serta kemahiran digital dalam kalangan kedua-dua generasi.

“Strategi seimbang ini mampu melahirkan tenaga kerja lebih kompetitif, berkemahiran tinggi serta mampu mengadaptasi teknologi semasa, sekali gus memberi manfaat besar kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN