Kementerian Pertahanan beri kerjasama PDRM siasat kematian pelatih Palapes - Utusan Malaysia

Kementerian Pertahanan beri kerjasama PDRM siasat kematian pelatih Palapes

ADLY Zahari melawat pameran pada program Veteran Desa Madani (VDM) daerah Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Kementerian Pertahanan akan memberi kerjasama kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan kes kematian pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meninggal dunia semasa latihan di Ulu Tiram, Johor pada 28 Julai lalu.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, kementerian juga akan membuat siasatan dalaman untuk melihat apa aspek yang harus diperbaiki.

“Kita di Kementerian Pertahanan, latihan kita memang agak tegas tetapi kita tidak boleh terima sebarang bentuk pembulian. Sesiapa sahaja melakukan kesalahan, dia akan berdepan tindakan disiplin daripada peringkat kementerian selain perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program Veteran Desa Madani (VDM) daerah Sungai Siput di sini hari ini.

Adly Zahari ditanya mengenai kes kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang mendapat perhatian negara.

Ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menuntut siasatan telus berhubung kematian anaknya, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, kerana merasakan kecederaan teruk pada tubuh jenazah tidak selari dengan maklumat awal yang dimaklumkan kepadanya.

Jelasnya, pihak kementerian mahu semua pihak diberi keadilan yang saksama termasuk mangsa dan juga pentadbir.

Timbalan Menteri itu juga berkata, kementerian menitikberatkan maklumat kesihatan untuk memastikan mereka yang menyertai sebarang program latihan termasuk separa tentera benar-benar melepasi kriteria tersebut.

Katanya, latihan ketenteraan adalah lasak dari segi fizikal, sekali gus memerlukan tahap kesihatan disaring.

“Maklumat kesihatan atau apa sahaja yang terkait dengan kesihatan, bukan sahaja laporan (kesihatan) daripada peserta, malah kita juga memang ada ujian-ujian kesihatan ini.

“Kita tidak mahu laporan kesihatan disembunyikan. Ia akan memberi kesan sebab kita tahu latihan ketenteraan secara fizikal agak keras sedikit,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN