PETALING JAYA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, Naim Kurniawan Moktar, bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan untuk terus membawa kemajuan kepada kawasan itu.
Anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu berkata, beliau tidak menjadikan arwah bapanya sebagai penanda aras dalam menghadapi PRK akan datang, sebaliknya fokus kepada kepentingan rakyat dan pembangunan kawasan secara berperingkat.
“Bawa perjuangan arwah bapa bukan mudah, tetapi saya akan teruskan.
“Saya bukan baharu dalam politik dan parti ini. Saya sudah menjadi Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan hampir lapan hingga sembilan tahun, jadi hubungan saya dengan akar umbi rapat dan banyak gerak kerja arwah bapa saya pun pernah saya uruskan.
“Namun, ia bukan bermaksud menjadi kelebihan kepada saya, tetapi saya harap rakyat memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa kemajuan kepada masyarakat dan daerah,” katanya dihubungi, Mingguan Malaysia semalam.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan Naim sebagai calon BN pada PRK Parlimen Kinabatangan dan telah memanggil serta mengarahkan beliau untuk memulakan kempen di kawasan berkenaan.
Kata Naim, beliau belum menerima watikah daripada Ahmad Zahid mengenai pencalonan itu, namun percaya ia akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Setakat ini yang dimaklumkan hanya untuk menjadi calon di peringkat Parlimen sahaja, bukan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag,” katanya.
Mengulas lanjut, Naim berkata, isu kebajikan asas termasuk kampung yang masih belum menikmati bekalan elektrik dan air bersih terus menjadi keutamaan perjuangan di Kinabatangan, selain usaha membawa masuk industri bagi merancakkan pembangunan ekonomi daerah itu.
“Realitinya di lapangan menunjukkan masih wujud jurang pembangunan yang perlu ditangani secara berperingkat demi memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar tidak terus tercicir,” katanya.
Mengulas soal pencalonan, beliau memaklumkan, setakat ini tidak berlaku pertindihan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila gabungan itu tidak menghantar calon bagi Parlimen Kinabatangan.
“Setakat ini, Datuk Seri Hajiji Noor (Ketua Menteri Sabah memaklumkan tidak akan meletakkan calon di kedua-dua tempat sama ada di DUN atau Parlimen. Jadi, kita berada dalam keadaan bersedia dan fokus adalah di peringkat Parlimen Kinabatangan sahaja,” katanya.
Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya, Bung Moktar, yang juga Pengerusi BN Sabah, meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari 2026.
Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November lalu. – MINGGUAN










