Kejayaan Perlis kekal sifar miskin tegar

Kejayaan Perlis kekal sifar miskin tegar

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengagihkan sumbangan zakat MAIPs kepada salah seorang penerima di Kangar, Perlis, baru-baru ini. – UTUSAN/MARZITA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sejak September tahun lalu sehingga kini iaitu dalam tempoh hampir setahun, Perlis berjaya merekodkan sifar miskin tegar iaitu pencapaian cukup membanggakan.

Kejayaan tersebut dilihat hasil usaha berterusan yang dilaksanakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menjejaki dan membantu golongan memerlukan itu.

Malah, salah satu pendekatan yang cukup ikonik iaitu kayuhan basikal diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memasuki seluruh pelosok kampung bagi menyantuni asnaf seterusnya menyampaikan bantuan sangat memberi impak ke arah usaha menjejaki golongan memerlukan di negeri ini.

Bagi rakyat negeri ini, melihat Tuanku Syed Faizuddin tanpa sebarang protokol mengetuai kayuhan basikal memasuki kampung-kampung menyantuni dan membantu rakyat sudah menjadi kebiasaan. Baginda mengambil peluang kayuhan tersebut dalam mendekati masyarakat dan memahami cabaran mereka secara lebih dekat.

Selain dapat memantau kea­daan rakyat dengan lebih dekat di kampung-kampung, ia juga merupakan cara unik Raja Muda Perlis untuk menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada mereka yang memerlukan.

Sejak lebih 10 tahun lalu, baginda sudah mengetuai sebanyak 978 kayuhan memasuki seluruh pelosok kampung di negeri ini dengan tahun ini sahaja sudah melebihi 60 kali.

Sebagai rekod setakat Januari lalu, kayuhan yang diberi nama program MAIPs peduli yang diperkenalkan sejak 2013 itu juga telah berjaya mengagihkan sumbangan agihan zakat sebanyak RM33,195,600 membabitkan 51,028 penerima secara kese­luruhan.

Pada tahun lalu sahaja, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs itu juga telah mengetuai seba­nyak 111 kali kayuhan program tersebut dengan menyaksikan seramai 5,563 golongan asnaf disantuni membabitkan seba­nyak RM3,894,100 telah diagihkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan negeri, Datin Marzita Mansor berkata, Perlis berjaya merekodkan sifar miskin tegar sejak hampir setahun lalu dan diharap pencapaian tersebut dapat terus dikekalkan.

Katanya, selain itu, sejumlah 10,899 ketua isi rumah (KIR) berstatus miskin di negeri ini juga telah berdaftar di bawah sistem eKasih.

Ujar beliau, pengurangan KIR miskin tegar adalah bergantung kepada jumlah pendapatan isi rumah termasuk bantuan diberikan jabatan dan agensi khususnya seperti JKM serta MAIPs.

“Antara faktor kejayaan Perlis mengekalkan sifar miskin tegar itu adalah dengan kerjasama antara agensi pemberi bantuan terutama MAIPs dan JKM dalam penyaluran bantuan bulanan kewangan.

Selain itu, dengan peningkatan pendapatan isi rumah apabila ada pertambahan dalam kalangan isi rumah yang bekerja.

“Antara lain, pengemaski­nian maklumat bantuan seper­ti sumbangan asas Rahmah (Sara), sumbangan tunai Rahmah (STR), bantuan sara hidup MAIPs, bantuan JKM, pencen di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bantuan daripada agensi-agensi pemberi bantuan yang lain.

“Malah, pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembasmian ke­miskinan dan meningkatkan kesejahteraan hidup seperti Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dan inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) juga banyak membantu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, program kayuhan MAIPs peduli bukan sekadar simbolik sebaliknya sebuah gerakan transformasi yang melibatkan semua pihak dalam membantu golongan asnaf.

Katanya, MAIPs juga amat beruntung kerana kesemua program tersebut melibatkan komitmen penuh daripada Raja Muda Perlis yang berangkat sendiri mengetuai program.

Ujarnya, pencapaian tersebut membuktikan komitmen MAIPs untuk terus turun ke lapangan bersama masyarakat dan rakyat negeri ini.

“Inisiatif tersebut adalah peluang terbaik untuk mendekati masyarakat dan memahami cabaran mereka secara langsung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN