PETALING JAYA: Pelakon, Rita Rudaini meluahkan rasa bengang apabila usaha kerasnya sepanjang membesarkan kedua-dua anaknya bagai diputar belit oleh seorang individu.
Tidak memetik nama mana-mana pihak, perkongsian yang berbaur sindirian itu turut memberi gambaran bahawa individu yang dimaksudkan tersebut seakan culas menunaikan tanggungjawabnya terhadap anak-anak, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
“Saya yang memikul tanggungjawab dari mereka kecil hingga hari ini, namun awak mampu berdiri mendakwa seolah semua datang dari usaha awak.
“Cerita mungkin boleh disusun indah dihadapan manusia tapi di hadapan Tuhan, kebenaran tidak perlukan suntingan.
“Jika menipu mampu beri awak simpati, teruskanlah. Cuma, jangan lupa kebenaran tidak pernah tunduk pada cerita rekaan. Dengan manusia mungkin boleh pura-pura.
“Tapi dengan hati sendiri dan Tuhan, tiada ruang untuk dusta,” katanya menerusi beberapa hantaran di Instagram Story.
Dalam perkongsian lain, pelakon filem Mami Jarum itu menegaskan individu berkenaan juga tidak sepatutnya menunding jari kepada orang lain sekiranya anak-anaknya memilih untuk menjauhkan diri.
Pun begitu, Rita turut menafikan tindakan kedua putera kesayangannya memilih untuk menjauhkan diri bukan kerana termakan sebarang hasutan sebaliknya rasa kecewa yang pernah dilaluinya.
“Awak boleh reka cerita untuk raih simpati dan alih salah pada orang lain, tapi hati kecil dan Tuhan tak pernah boleh awak tipu.
“Kadang-kadang, bila anak menjauh itu bukan kerana hasutan, tapi kerana kenangan. Jangan cari salah pada orang lain bila yang perlu diperbaiki adalah diri sendiri.
“Bila hati anak sudah tertutup, bukan sebab dijauhkan tapi kerana pernah dibiarkan. Usah salahkan angin, kalau sendiri yang longgarkan ikatan.
“Jarak itu bukan dicipta oleh mulut yang berbicara. Tapi oleh hati yang pernah dikecewakan,” ujarnya diiringi tanda pagar #Kifarahisreal.-UTUSAN