RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas tembakau kunyah bernilai RM59,512.50 yang diseludup dari negara jiran dalam serbuan kawasan perumahan di Kampung Kukang, Kota Bharu, 4 Ogos lalu.
Dalam serbuan pukul 4.30 pagi itu, JKDM Kelantan turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan menyita sebuah lori tiga tan serta lima buah kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 2,587.50 kilogram (kg) tembakau kunyah pelbagai jenama yang dipercayai diseludup melalui jalan sungai Golok dari Thailand.
“Semua barangan ini dipindahkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda untuk dibawa ke kawasan perumahan tersebut. Tembakau kunyah itu akan dipasarkan ke Lembah Klang kerana mendapat permintaan tinggi dari penduduk tempatan dan warga asing,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasa JKDM Rantau Panjang, di sini hari ini. – UTUSAN










