JPJ sokong aktiviti permotoran selagi patuh peraturan keselamatan

JPJ sokong aktiviti permotoran selagi patuh peraturan keselamatan

AEDY FADLY RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan pihaknya sentiasa menyokong aktiviti perhimpunan permotoran selagi penganjur mematuhi peraturan ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penganjur juga sentiasa diingatkan supaya tidak menganjurkan sebarang program tanpa memikirkan aspek-aspek keselamatan.

Beliau berkata, kebiasaannya, sebelum sesuatu program permotoran dilaksanakan, penganjur perlu mendapatkan nasihat dan kelulusan daripada pihak berkuasa, khususnya JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Komitmen untuk mematuhi peraturan jalan raya perlu ditunjukkan terlebih dahulu, baru lah pihak berkuasa memberi kelulusan untuk program tersebut dijalankan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Pembayaran Tanpa Tunai Melalui Kaedah E-Dompet di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada JPJ akan mengambil tindakan lebih ketat kepada penganjur pada masa akan datang susulan masih ada insiden kemalangan maut setiap kali penganjuran Himpunan RXZ Member setiap tahun.

Media sebelum ini melaporkan, lima kematian direkodkan akibat kemalangan melibatkan peserta Himpunan RXZ Members 7.0 yang dalam perjalanan ke acara tersebut di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Terengganu baru-baru ini.

“Hal ini bukan hanya terhad kepada perhimpunan RXZ sahaja, tetapi juga melibatkan pelbagai program permotoran lain seperti ‘bike week’ dan sebagainya. Isu ini biasanya timbul apabila peserta tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak mencatat penyertaan sekitar 150,000 peserta, sekali gus menjadi edisi paling besar dan berjaya setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN