JPJ kesan warga asing pandu kereta mewah guna lesen palsu

JPJ kesan warga asing pandu kereta mewah guna lesen palsu

SEORANG lelaki warga asing ditahan kerana memandu kereta mewah menggunakan lesen memandu palsu baru-baru ini. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing ditahan kerana memandu kereta mewah menggunakan lesen memandu palsu baru-baru ini.

Tindakan individu itu terbongkar selepas dia ditahan dalam Op Luxury 3.0 yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekitar ibu negara.

Individu terbabit turut dikesan memandu melebihi had laju dari arah Kuantan menuju ke ibu negara di sekitar Gombak.

Ketika pemeriksaan, individu ini mengemukakan lesen memandu yang disyaki palsu dan hasil semakan lanjut mengesahkan dokumen itu tidak sah.

Individu terbabit dipercayai menggunakan dokumen palsu itu sejak setahun lalu selain mendakwa kenderaan mewah dipandu milik rakannya.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undang JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya menahan sebanyak 104 kenderaan mewah pelbagai jenama dalam operasi yang dijalankan sejak Khamis lalu.

Beliau berkata, operasi ini melibatkan pemeriksaan terhadap kenderaan mewah yang dipandu oleh warga tempatan dan warga asing.

“Seramai 12 warga asing dikesan memandu kenderaan mewah, sembilan daripadanya melakukan pelbagai kesalahan.

“Antaranya menggunakan lesen memandu palsu, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh serta penggunaan lesen memandu palsu,” katanya pada sidang akhbar di Depoh Sita JPJ Kuala Lumpur di sini hari ini.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud sindiket menjual dokumen palsu berkenaan.

“Siasatan terperinci akan dijalankan dan tidak mustahil operasi seterusnya akan menjurus kepada pembongkaran sindiket ini.

“Kes ini membuktikan ada warga asing yang sewenang-wenangnya mencabar undang-undang Malaysia dengan memandu kereta mewah tanpa mematuhi peraturan,” jelasnya.

Muhammad Kifli berkata, kebanyakan kenderaan yang ditahan bernilai lebih RM500,000 dan majoriti pemandu berasal dari Asia Selatan.

“Mereka memberi pelbagai alasan, kononnya terlupa memperbaharui cukai jalan atau mendakwa kenderaan milik rakan atau saudara mara,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, JPJ akan memperhebatkan operasi bersepadu bersama agensi lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia bagi memastikan warga asing tidak sesuka hati melanggar undang-undang.

“Insha-Allah, selepas ini JPJ akan mempergiatkan operasi bersepadu bersama agensi lain misalnya Jabatan Imigresen Malaysia.

“Isnin ini, saya akan mengangkat kertas cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lebih drastik terhadap kesalahan ini,” katanya.

Katanya, rekod menunjukkan kebanyakan pemilik akan segera memperbaharui cukai jalan dan insurans sebaik sahaja kenderaan mereka disita.

“Jenis kenderaan yang ditahan kali ini berbeza dengan operasi sebelum ini. Ia bukan kesalahan berulang, tetapi dilakukan pelaku berbeza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×