PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan pendiriannya untuk terus mempertahankan perjuangan dalam memartabatkan maruah negara tanpa rasa gentar walaupun berdepan tekanan dari pihak tertentu.
Katanya, beliau sama sekali tidak akan berasa takut atau menyerah kalah, sebaliknya bersedia melawan habis-habisan demi memastikan prinsip dan pendiriannya dipertahankan.
“Baru tadi saya dihubungi oleh pegawai penyiasat dari Bukit Aman untuk memaklumkan bahawa saya diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur malam ini pada pukul 11 malam. Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“Jika ini harga yang perlu saya bayar untuk mempertahankan maruah negara ini, saya rela dan akan lawan habis-habisan. Untuk takut kepada puak-puak mereka, tidak sama sekali. No fear, no surrender,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Dr. Muhamad Akmal berkata, beliau sama sekali tidak gentar dengan sebarang ugutan atau desakan termasuk daripada Pemuda DAP Pulau Pinang yang mahu memutuskan hubungan politik dengannya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau turut mencabar agar tindakan tersebut diambil barisan kepimpinan DAP.
Dalam laporan portal berita sebelum ini, Pemuda DAP Pulau Pinang menyeru kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu susulan tindakannya yang didakwa bersifat provokasi.
Pemuda DAP Pulau Pinang menegaskan bahawa tindakan sedemikian tidak boleh dimaafkan dan mendesak kepemimpinan nasional DAP memutuskan segala bentuk kerjasama politik dengan Dr. Akmal, terutamanya pada pilihan raya umum yang akan datang.










