KEMAMAN: Kejernihan airnya yang kebiruan bak kristal dan keunikan air terjun semulajadi yang terus mengalir ke laut, menjadi tarikan pengunjung serta pelancong untuk bertandang ke Air Terjun Janda Mandi, di Kijal, di sini.
Kawasan rekreasi terletak di Bukit Kijal itu turut menjadi antara destinasi wajib bagi individu gemar melakukan aktiviti pendakian berikutan pengunjung perlu berjalan kaki merentasi denai dan kawasan berbukit kira-kira 40 minit untuk tiba di lokasi itu.
Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kawasan rekreasi berkenaan akan dimajukan menerusi konsep pelancongan berteraskan komuniti (CBT) yang melibatkan komuniti setempat sekali gus dapat memberi peluang kepada penduduk untuk menjana ekonomi.
“Lazimnya, air terjun mengalir ke anak sungai namun uniknya Air Terjun Janda Mandi ini adalah kerana air terjun terus mengalir ke kawasan laut dan airnya cukup jernih serta selamat untuk mandi-manda.
“Kita akan majukan kawasan ini menjadi kawasan pelancongan terkenal dan dalam masa yang sama pastikan keindahan alam di kawasan ini terus terpulihara,” katanya ketika meninjau kawasan tersebut, baru-baru ini.
Razali berkata, selain mendaki bukit berketinggian kira-kira 90 meter itu, kawasan air terjun berkenaan juga boleh diakses dengan menggunakan bot.
“Mungkin menerusi CBT ini, pengusaha bot di kawasan ini boleh menawarkan perkhidmatan bot untuk ke Air Terjun Janda Mandi yang hanya memakan masa kira-kira 20 minit dari Pantai Penunjuk Kijal,” katanya.
Seorang penduduk, Rosliza Abdul Rashid, 56, berkata, Air Terjun Janda Mandi mempunyai kisah misteri tersendiri yang menjadi buah mulut orang-orang lama di kawasan itu.
“Orang-orang lama beritahu, kawasan ini dikenali sebagai Janda Mandi kerana dahulu ada seorang wanita yang kehilangan suami ketika belayar mencari rezeki. Wanita atau janda itu dikatakan ghaib ketika mandi di kawasan air terjun itu,” katanya.-UTUSAN










