Jejak Inovasi Sosial Zon Sabah buka ruang inovasi buat penduduk Merotai

Jejak Inovasi Sosial Zon Sabah buka ruang inovasi buat penduduk Merotai

DR. Sharmila Mohamed Salleh (dua dari kanan) dan Mohamad Yusof Apdal (tengah) bersama sebahagian peserta Jejak Inovasi Sosial Zon Sabah di Merotai yang dilancarkan Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Program Jejak Inovasi Sosial (JIS) di Zon Sabah bertempat di Merotai membuka ruang kepada komuniti setempat di kawasan itu untuk mengetengahkan isu, cabaran serta potensi inovasi di peringkat akar umbi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, pemilihan Merotai adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui YIM dalam menilai keperluan masyarakat serta menyokong pembangunan inovasi tempatan.

Menurut beliau, JIS bukan sahaja berperanan sebagai wadah mengetengahkan idea, malah turut menyediakan peluang penajaan melalui MyIS Komuniti dengan peruntukan sehingga RM300,000 untuk pelaksanaan projek inovasi.

“Bagi inovator kecil yang sudah mempunyai prototaip, mereka berpeluang mengembangkan inovasi melalui dana pembangunan bernilai RM50,000,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Dr. Sharmila menjelaskan, JIS juga berfungsi sebagai medium pengumpulan data mengenai isu dan cabaran masyarakat setempat yang boleh disalurkan kepada agensi berkaitan di bawah Mosti atau kementerian lain bagi tindakan lanjut.

Katanya, YIM akan mengambil inisiatif menyalurkan maklumat tersebut secara rasmi sekiranya isu yang dikenal pasti memerlukan perhatian khusus daripada pihak berkuasa.

“Dengan cara ini, setiap suara daripada akar umbi dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih berkesan dan memberi manfaat secara langsung kepada komuniti,” jelasnya.

Pada program di Merotai kali ini, sebanyak lima hingga enam inovasi tempatan dipamerkan, termasuk beberapa yang berpotensi dibantu dari segi penghasilan dan pemprosesan.

Panel penilai turut dilantik bagi mengenal pasti inovasi yang sesuai untuk dikembangkan ke peringkat seterusnya dengan sokongan dana dan kepakaran teknikal.

Dr. Sharmila menegaskan, usaha itu penting bagi memastikan inovasi di peringkat komuniti tidak terhenti sekadar idea, sebaliknya mampu memberi impak besar kepada masyarakat serta berupaya menjana pendapatan baharu.

Program Jejak Inovasi 2.0, katanya, merupakan kesinambungan daripada inisiatif Jejak Inovasi yang diperkenalkan sejak 2011, namun kali ini diberi nafas baharu dengan pendekatan metodologi 4D (Discover, Develop, Disseminate dan Diffuse).

“Pendekatan ini membolehkan kita menyelami isu-isu sosial, ekonomi dan alam sekitar secara komprehensif selain menjejaki produk inovasi komuniti serta bakat belia inovator sosial di seluruh negara,” katanya.

Beliau menambah, Zon Sabah akan terus menjadi fokus pelaksanaan program selepas ini dengan Kalabakan dipilih sebagai destinasi seterusnya.

Sepanjang siri libat urus yang dijalankan sebelum ini di Kedah, Kelantan, Selangor, Melaka dan Terengganu, pelbagai isu berjaya dikenal pasti antaranya masalah bekalan air bersih, pencemaran sungai, pengurusan sisa pepejal tidak efisien dan cabaran meningkatkan pendapatan komuniti.

“Hasil analisis ini akan dibawa ke Jawatankuasa Pakar Bidang Khusus untuk dinilai sebelum ditentukan inovasi atau teknologi yang sesuai bagi direplikasi di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Selain JIS, YIM juga melaksanakan beberapa program lain di bawah inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS) seperti MyIS Akar Umbi, Youth Innovative Challenge (YIC) dan Innovation Catalyst (ICATs).

YIC yang berlangsung di Ruang Daya Cipta (RDC) Kota Kinabalu, katanya, menjadi platform penting bagi pelajar universiti mempamerkan projek akhir berasaskan teknologi dan inovasi sosial yang berpotensi dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.

Sepanjang siri YIC di zon lain, pelbagai idea kreatif telah diketengahkan termasuk sistem pemantauan akuakultur berasaskan kecerdasan buatan (AI), aplikasi mobiliti untuk orang kelainan upaya penglihatan serta inovasi pertanian pintar.

Dalam pada itu, Dr. Sharmila menyeru kerjasama lebih erat dengan kerajaan negeri, pejabat daerah, penghulu dan ketua kampung bagi memastikan kejayaan penganjuran program sekaligus meningkatkan kesejahteraan komuniti.

“Inovasi sosial lahir daripada pemahaman mendalam terhadap cabaran dan realiti kehidupan rakyat. Setiap pandangan dan idea daripada komuniti amat bernilai dalam merangka penyelesaian,” katanya.

Dengan pelaksanaan Jejak Inovasi 2.0 di Sabah, YIM yakin usaha ini akan menjadi asas penting melahirkan komuniti berdaya tahan, inovatif dan inklusif, sejajar dengan Dasar Inovasi Sosial (DIS) 2025-2030 yang diumumkan kerajaan tahun lalu.

MOHAMED Yusof Apdal dan Dr. Sharmila Mohamed Salleh melepaskan konvoi peserta sempena Jejak Inovasi Sosial Zon Sabah di Merotai, Sabtu lalu.

 

Sementara itu, Mohammad Yusof menegaskan komitmen kerajaan dalam membantu peladang di Merotai dan Kalabakan meningkatkan hasil tanaman menerusi pendekatan teknologi, inovasi serta bimbingan pemasaran.

Beliau berkata, lawatan itu memberi peluang untuk melihat sendiri perkembangan perusahaan tani di kawasan berkenaan yang kini menunjukkan hasil memberangsangkan.

“Saya ucapkan tahniah kepada para peladang kerana usaha mereka semakin menampakkan kejayaan. Jika dibandingkan dengan peringkat awal hingga sekarang, memang ada hasil yang membanggakan,” katanya.

Menurut beliau, usaha ini adalah sebahagian daripada cara kerajaan membantu rakyat setempat khususnya dalam sektor pertanian agar mereka dapat menikmati hasil yang lebih baik serta berdaya saing.

“Kehadiran kami bersama YIM adalah untuk meneliti sudut mana Mosti boleh membantu. Sama ada dari aspek pengurusan tanaman yang baik, memperkenalkan inovasi bagi meningkatkan kualiti hasil, atau memperkenalkan teknologi yang boleh memudahkan penyelenggaraan perusahaan ini,” jelasnya.

Selain aspek teknikal, kementerian juga memberi perhatian terhadap pendekatan pemasaran supaya peladang mendapat panduan, bimbingan dan nasihat bagaimana hasil tanaman dapat dipasarkan dengan lebih sistematik.

Mohammad Yusof berkata, hasil lawatan itu pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pakar-pakar khususnya dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM serta YIM sebagai pembiaya untuk mencari solusi terbaik meningkatkan produktiviti peladang.

“Melalui kerjasama ini, kita yakin dapat membantu meningkatkan hasil tanaman, memperbaiki kualiti serta memberikan pulangan yang lebih baik kepada peladang di kawasan ini,” katanya.

Beliau menambah, pendekatan menyeluruh yang merangkumi inovasi, teknologi dan strategi pemasaran merupakan kunci untuk memastikan peladang bukan sahaja bergantung pada cara tradisional tetapi turut bersedia bersaing dalam pasaran yang lebih luas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN