PETALING JAYA: Saingan Liga A1 Semi Pro musim ini dijangka lebih sengit dengan kemunculan beberapa pasukan berstatus negeri serta kehadiran pasukan simpanan kelab gergasi negara, Johor Darul Ta’zim II (JDT FC II).
Bekas penyerang kebangsaan, Rudie Ramli, berkata, kehadiran beberapa pasukan berpengalaman seperti Imigresen FC II, Selangor FC II, serta Kedah dan Perak yang baru ‘turun’ daripada Liga Super menjadikan persaingan musim ini sukar dijangka.
“Kalau ikutkan, agak sukar nak ramal siapa yang akan dominasi. Pasukan seperti Imigresen FC pernah menunjukkan prestasi yang baik musim lalu. Namun kita tak boleh nafikan potensi JDT FC II yang sebelum ini muncul juara Liga MFL.
“Mereka membawa DNA juara daripada pasukan utama dan saya percaya mereka akan membentuk pasukan yang mantap untuk Liga A1.
“Tambahan pula, Liga ini adalah peringkat kedua selepas Liga Super, sudah tentu setiap pasukan mahu beri saingan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Rudie tidak menolak kemungkinan JDT FC II akan meniru kejayaan pasukan utama di pentas Liga Super.
“Dengan struktur yang kukuh dan barisan pemain berkualiti termasuk bekas pemain Liga Super, saya yakin mereka akan tampil konsisten. Penglibatan pemain import juga memberi nilai tambah besar kepada kekuatan pasukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rudie turut mengulas kehadiran dua pasukan daripada negeri yang sama seperti Kedah dan Kelantan yang menurutnya sebagai satu perkembangan positif dalam pembangunan bola sepak negara.
“Kalau kita tengok ada Kedah FA dan Kedah Darul Aman FC (KDAFC), Kelantan pun ada dua entiti Red Warriors dan Kelantan WTS FC.
“Bagi saya, ini satu pendekatan yang bagus kerana ia memberi lebih banyak peluang kepada pemain untuk beraksi dan mengembangkan bakat masing-masing.
“Lebih banyak pasukan, lebih banyak minit permainan untuk pemain. Ini baik untuk ekosistem bola sepak kita, terutamanya dalam mempersiapkan pemain untuk ke Liga Super,” jelasnya.
Liga A1 bakal membuka tirai pada hari ini dengan melihatkan 16 pasukan bakal berentap bagi merebut gelaran juara dan slot ke Liga Super musim hadapan. – UTUSAN










