Jawatankuasa khas ditubuh siasat kematian pegawai kadet Palapes UTM

Jawatankuasa khas ditubuh siasat kematian pegawai kadet Palapes UTM

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat secara terperinci punca kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin, 22.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ia terdiri daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan bertujuan memastikan laporan lengkap dapat disediakan dengan kadar segera.

“Semalam, saya telah melawat keluarga Allahyarham dan mendengar sendiri luahan ibu mangsa yang menceritakan tentang keadaan (kematian) anaknya.

“Ibu mangsa telah memohon secara rasmi supaya dibuat siasatan semula. Perkara ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan saya sudah maklumkan kepada AGC mengenai laporan yang dikemukakan.

“Kes ini sekarang berada di peringkat siasatan dan kita menjangka keputusan dalam tempoh terdekat,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai perkembangan terkini kes kematian Syamsul Haris.

Semalam, ibu mangsa, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menggesa bedah siasat kedua dijalankan dan bersedia kubur anaknya digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Katanya, permohonan berkenaan sudah diserahkan kepada AGC melalui Kementerian Pendidikan Tinggi bagi membolehkan siasatan telus dilaksanakan tanpa melindungi mana-mana pihak.

Allahyarham maut ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor bermula 26 Julai dan sepatutnya berakhir pada 3 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN