PETALING JAYA: Jawatan Presiden Pas dijangka kekal disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang tanpa sebarang pertandingan pada Muktamar Tahunan parti itu September ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sehingga kini tiada sebarang pencalonan yang diterima untuk mencabar jawatan berkenaan.
“Saya jangka Presiden akan kekal dan kemungkinan besar tiada pertandingan. Sehingga kini tidak kedengaran adanya pencalonan bagi pertandingan jawatan Presiden,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mengulas spekulasi yang menyebut namanya antara individu disebut-sebut sebagai calon menggantikan Abdul Hadi jika Ahli Parlimen Marang itu berundur dan mengisi jawatan Mursyidul Am.
Kelmarin media melaporkan, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Mohd. Asri Mat Daud menyifatkan spekulasi kononnya Tuan Ibrahim bakal menggantikan Abdul Hadi sebagai ‘naratif campak pukal’ yang tidak berasas.
Tuan Ibrahim berkata, beliau tidak mengetahui dari mana datangnya khabar angin berkenaan kerana tumpuan beliau kini adalah membantu Presiden memperkukuh parti.
Beliau berkata, tiada sebarang isyarat dari peringkat kawasan, negeri atau pusat yang memberi petunjuk bahawa Presiden Pas perlu berundur atau diganti.
Dalam pada itu, pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, spekulasi mengaitkan Tuan Ibrahim sebagai pengganti Abdul Hadi lebih bersifat pemerhatian luar dan bukan mencerminkan kehendak dalam parti itu sendiri.
Katanya, Pas bukan sebuah parti mudah membuat perubahan kepemimpinan terutama dalam keadaan Abdul Hadi masih dilihat berpengaruh dan belum menunjukkan tanda untuk berundur.
“Pas tidak sama dengan parti lain seperti UMNO yang pernah berlaku pertandingan untuk Presiden. Dalam Pas, ia bukan budaya mereka dan sudah lama tidak berlaku pertandingan untuk jawatan tertinggi,” katanya.-UTUSAN










