Jarak rumah hanya 5 km, tetap bermalam di Dataran Putrajaya

Jarak rumah hanya 5 km, tetap bermalam di Dataran Putrajaya

DATARAN Putrajaya mula dipenuhi orang ramai 'bermalam' sempena Hari Kebangsaan 2025. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jarak antara rumah sewa mereka dengan Dataran Putrajaya, di sini hanya lima kilometer (KM) sahaja, namun dua rakan baik tetap bersemangat dan tiba awal bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Bagi penjawat awam, Nurul Shafikah Abdul Hamid, 29, dan Syuraya Mohd Yusof, 26, mereka tiba seawal pukul 11 malam di Dataran Putrajaya kerana mahu merasai kemeriahan bersama pengunjung yang lain.

Mereka yang menyewa di Presint 17, di sini menyatakan hanya mahu mencari kelainan berbanding memilih tidur selesa di atas tilam dan bantal empuk di rumah sendiri.

Ketika didekati wartawan, dua rakan baik itu dilihat berbaring atas tikar sambil berlapikkan bantal kecil dan berselimutkan ‘kain ponco’.

Nurul Shafikah Abdul Hamid dan Syuraya Mohd Yusof

Nurul Shafikah berkata, dia memilih untuk datang awal bagi mendapatkan lokasi sesuai kerana tidak mahu terlepas momen menarik.

“Tahun lalu (Hari Kebangsaan 2024) saya datang pukul 6 pagi tapi semua tempat dipenuhi orang.

“Jadi kali ini saya dan kawan ambil keputusan untuk bermalam terus di sini, biar penat sedikit asalkan puas hati,” katanya.

Tinjauan wartawan di sepanjang Dataran Putrajaya mendapati, pelbagai ragam dan momen menarik dapat dirakam sementara menanti sambutan Hari Kebangsaan 2025 pagi ini.

Ada yang lena dibuai mimpi, rancak berborak bersama, membaca buku, melayari media sosial, menidurkan anak kecil diribaan dan sebagainya.

Selain itu, orang awam yang masih berjaga turut dijamukan dengan air kopi yang diagihkan secara percuma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN