Janji Warisan hapus PTPTN realistik, bukan retorik politik

Janji Warisan hapus PTPTN realistik, bukan retorik politik

AMRULLAH KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Cadangan Parti Warisan untuk menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat bukan sekadar janji politik, sebaliknya merupakan pelan yang realistik dan berpaksikan keupayaan sebenar Sabah.

Naib Ketua Bahagian Warisan Tawau, Datuk Amrullah Kamal berkata, pelan yang diumumkan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal itu berlandaskan fakta semasa dan dirangka dengan pendekatan pelaksanaan yang jelas serta boleh dicapai.

“Ini bukan janji populis, bukan juga janji untuk meraih undi secara mudah. Ia merupakan komitmen jangka panjang yang mengambil kira sumber hasil negeri dan keperluan rakyat, terutama golongan muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Amrullah, Warisan menggariskan pelan penghapusan hutang PTPTN secara berfasa melalui pengukuhan ekonomi negeri dan pengembalian hasil kepada rakyat. Malah, katanya, pelan itu telah direka mengikut prinsip SMART (Specific, Measurable, Achievable, Relevant dan Time-bound) menjadikannya pelan realistik, bukan retorik.

“Berdasarkan data semasa, seramai kira-kira 30,000 anak Sabah berhutang dengan PTPTN dengan purata RM23,000 setiap seorang. Ini menjadikan jumlah keseluruhan hutang rakyat Sabah kepada PTPTN sekitar RM700 juta.

“Jumlah itu bukan mustahil untuk ditanggung jika hasil negeri dapat diurus dengan telus. Ketika Warisan memerintah dahulu, hasil cukai jualan petroleum Sabah mencecah RM1 bilion. Kita juga sedang meneroka sumber lain seperti emas dan gas asli,” jelasnya.

Tambahnya lagi, cadangan tersebut turut merangkumi komitmen untuk melupuskan pinjaman pendidikan Yayasan Sabah bagi memastikan semua pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak terbeban selepas tamat pengajian.

Amrullah juga menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa cadangan itu merupakan idea lama yang dikitar semula atau hanya sekadar janji pilihan raya.

“Ia bukan pernah dijanjikan pada PRU14 dahulu. Ini bukan manifesto ulangan, tapi pelan baharu hasil keprihatinan terhadap beban kewangan rakyat yang semakin mencengkam,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa kerajaan negeri Sabah supaya memberi fokus kepada isu-isu besar yang sedang membelenggu rakyat seperti kehilangan hasil negeri, masalah tanah, penyeludupan sumber, serta kesesakan lalu lintas di kawasan utama seperti Jalan Apas.

“Daripada mengkritik cadangan Warisan, lebih baik mereka jawab isu kehilangan 70,000 hektar tanah dan penyeludupan emas di Lapangan Terbang Tawau yang didedahkan sebelum ini,” tegasnya.

Beliau menyeru rakyat Sabah agar menilai secara matang setiap cadangan yang dikemukakan parti politik, dan tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan yang cuba menutup kelemahan pentadbiran semasa.

“Cadangan Warisan ini bukan mimpi. Ia satu pelan tindakan yang berpaksikan realiti ekonomi Sabah dan semangat untuk membela masa depan generasi muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN