Jangan terpedaya maklumat palsu mengenai Istana Perak - Utusan Malaysia

Jangan terpedaya maklumat palsu mengenai Istana Perak

SAARANI Mohamad berucap semasa merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Belia Negeri Perak Sesi Kelima di Ipoh. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebarang perkara rasmi mengenai Istana Perak dibuat secara tertib oleh pihak istana, dan rakyat negeri ini diminta menjauhkan diri daripada penyebaran maklumat yang tidak betul.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata demikian susulan video tular TikTok kandungan palsu berkaitan Istiadat Perkahwinan Diraja Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang kononnya berlangsung bermula pada 7 Ogos lalu.

“Saya ada terbaca apabila terlintas dalam media sosial. Saya tidak pasti siapa pelakunya. Cuma saya mengingatkan kepada semua rakyat Perak, jangan terlibat dalam perkara seperti ini (cipta dan sebar berita palsu),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Belia Negeri Perak Sesi Kelima di sini hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 58 saat tular dengan menyatakan terdapat Majlis Persandingan Diraja akan berlangsung di Istana Iskandariah pada 7 hingga 17 Ogos ini dan bakal disiarkan secara langsung menerusi sebuah stesen televisyen tempatan.

Mengikut video itu, Majlis Akad Nikah dan Berbedak turut dipersembahkan kepada umum untuk rakyat Perak serta menyatakan pasangan diraja akan ke Tamparuli, Sabah selama seminggu bagi urusan perkahwinan.

Pejabat Sultan Perak kemudian membuat satu laporan polis mengenai video tular tersebut.

Saarani berkata, sebarang urusan serta pengumuman rasmi Istana adalah dilakukan secara tertib oleh pihak Istana dan mengharapkan orang ramai jangan terpedaya dengan penyebaran daripada sumber yang tidak sah.

Tentang Dewan Belia Perak, katanya sebarang usul dibawa oleh Ahli Dewan akan dikumpul dan diberikan kepada Exco negeri mengikut portfolio termasuk perkara berkaitan dengan belanjawan negeri yang sedang disiapkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN