PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengarahkan semua masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir selepas solat Maghrib, esok.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, arahan itu selaras dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bagi menyatakan solidariti dan keprihatinan terhadap keluarga mangsa.
“Sebagai tanda kebersamaan, Jakim akan memastikan semua pengurusan masjid di bawah kelolaannya melaksanakan majlis ini dengan penuh tertib dan teratur, sesuai dengan syiar Islam.
“Majlis ini bukan sahaja sebagai doa untuk kesejahteraan Allahyarham, tetapi juga sebagai tanda kasih sayang, solidariti dan keprihatinan umat Islam terhadap ahli keluarga yang sedang diuji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin turut menyeru umat Islam khususnya di negeri-negeri Wilayah Persekutuan untuk hadir dan menyertai majlis tersebut di masjid atau surau masing-masing.
“Semoga doa yang dipanjatkan secara bersama menjadi sumber kekuatan dan ketenangan, di samping menjadi amal jariah berterusan buat Allahyarham.
“Bagi pihak seluruh warga Jakim, saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, merahmatinya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya. – UTUSAN










