Isu tunggakan bayaran Awesome TV, Amir Raja Lawak harap selesai segera - Utusan Malaysia

Isu tunggakan bayaran Awesome TV, Amir Raja Lawak harap selesai segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelawak, Amir Raja Lawak berharap isu tunggakan bayaran daripada pihak stesen televisyen Awesome TV terhadapnya dapat diselesaikan dengan segera secara baik.

Amir atau nama sebenarnya, Mohammad Amirullah Azmi, 36, berkata wang tersebut amat diperlukan bagi menampung kos rawatan bapanya, Azmi Deris, yang kini menghidap kanser usus.

“Penyakit kanser memerlukan kos rawatan yang mahal, jadi saya perlu sediakan wang. Jika tunggu selepas minta baru nak diberi, ia akan lambat.

“Sebelum ini saya setuju bayaran dibuat secara ansuran, tetapi selepas tahu keadaan bapa semakin membimbangkan, saya mahu ia dibayar sekaligus.

“Dalam keadaan begini, saya sangat memerlukan baki bayaran RM18,000 itu,” katanya.

Menurut Amir, keadaan kesihatan bapanya kini semakin merosot sehingga tidak lagi mampu berjalan.

“Kalau dulu dia masih boleh bangun, sekarang dia mudah terjatuh. Dia pernah terhantuk dinding dan jatuh dari kerusi,” ujarnya.

Dalam pada itu, bekas peserta Raja Lawak musim ketiga itu bersyukur kerana menerima sokongan dan bantuan daripada orang ramai serta rakan artis selepas isu tersebut tular.

“Saya bersyukur ramai yang membantu, termasuk rakan-rakan artis. Namun saya tidak tahu jumlahnya kerana sumbangan terus dimasukkan ke akaun bapa,” katanyaz

Amir berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan Lindung, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di EQ Hotel Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan undang-undang yang difailkan Awesome TV, Amir memilih untuk tidak memberikan komen lanjut.

“Saya tak mahu besarkan isu ini. Insya-Allah akan ada perbincangan dengan orang tengah dalam masa terdekat.

“Buat masa ini saya lebih berhati-hati keluarkan kenyataan, tetapi jika ada makluman, saya akan kongsi di media sosial,” jelasnya.

Terdahulu, Awesome TV memaklumkan telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap tiga selebriti iaitu Amir, Mamak Puteh dan Abu Mamu berhubung kenyataan berunsur fitnah yang didakwa disebarkan melalui media sosial masing-masing.

Sebelum ini, Amir mendakwa bayaran penuh daripada sebuah stesen televisyen masih tertunggak, apabila hanya menerima RM5,000 daripada jumlah keseluruhan RM23,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN