Isu Jalur Gemilang: Perlu lebih matang dalam memberi respon - Nur Jazlan

Isu Jalur Gemilang: Perlu lebih matang dalam memberi respon – Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, isu Jalur Gemilang tidak seharusnya menjejaskan kerjasama antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan perlu bertindak lebih matang dalam memberi respon mengenai sesuatu isu termasuk Jalur Gemilang, agar tidak mengeruhkan kerjasama dalam kerajaan ketika ini.

“Isu ini tidak boleh mengganggu kepentingan kedua-dua parti secara keseluruhan. Hubungan kerjasama mesti dikekalkan untuk kestabilan politik negara,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Nur Jazlan berkata, setiap pemimpin, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berhak menyatakan pendirian dalam isu berkenaan meskipun ia tidak semestinya selari dengan pandangan orang lain.

“Akmal buat apa yang dia percaya. Sama ada semua orang setuju atau tidak, itu tidak penting.

“Nga Kor Ming (Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP) dulu pun lantang juga sehingga orang Melayu bencikan DAP. Cuma bezanya sekarang sudah jadi menteri. Jadi, Nga Kor Ming dan DAP pun jangan cakap banyaklah, mereka pun sama sahaja,” katanya.

Semalam, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka menolak politik kebencian yang didakwa dimainkan Muhamad Akmal serta menggesa DAP memutuskan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.

Ketua DAPSY Melaka, Cassel Krishnan berkata, isu Jalur Gemilang tidak wajar dijadikan modal politik murahan kerana ia hanya menyemai kebencian dalam masyarakat.

Pemuda DAP Selangor tutu menggesa parti itu memutuskan hubungan politik dengan Ketua Pemuda UMNO itu yang didakwa terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan mencetuskan ketegangan.

Muhamad Akmal pada 14 Ogos lalu mengetuai perarakan kira-kira 500 penyokong UMNO, Bersatu dan Pas di Kepala Batas, susulan insiden bendera negara dipasang secara terbalik di sebuah kedai perkakasan di situ.

Tindakan tersebut menimbulkan kecaman pemimpin-pemimpin politik DAP yang menggesa parti mereka membatalkan sebarang kerjasama politik dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.

Susulan itu, Muhamad Akmal dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Beliau kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan menimbulkan kegentaran terhadap keselamatan awam menerusi akaun media sosialnya pada 11 Ogos lalu.

Muhamad Akmal mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Mahkamah menetapkan 22 September ini untuk sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN