Akmal Saleh mengaku tidak bersalah mengeluarkan kenyataan

Akmal Saleh mengaku tidak bersalah mengeluarkan kenyataan kontroversi

DR. Muhamad Akmal Saleh (tengah) ketika tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung isu Jalur Gemilang, baru-baru ini.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rashidah Mohd. Akit.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengeluarkan kenyataan berkenaan dalam laman sosial miliknya yang mana ia dilihat menimbulkan kegentaran awam apabila mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam pada pukul 3 petang, 11 Ogos 2025.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Nordin Ismail manakala Muhamad Akmal pula diwakili beberapa peguam dengan diketuai oleh Aizat Azam.

Ketika prosiding, pendakwaan mencadangkan agar tertuduh diberikan jaminan sebanyak RM10,000, namun Aizat memohon jaminan minimum sebanyak RM2,000 dengan alasan tertuduh mempunyai banyak tanggungan, selain perlu melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat di Melaka dan sebagainya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan kehadiran seorang penjamin serta menetapkan 22 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu serahan dokumen berkaitan.

Terdahulu, ratusan penyokong berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam pagi ini bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Muhamad Akmal.

Selain membawa beberapa sepanduk, mereka turut melaungkan kata-kata semangat seperti ‘Hidup Pemuda’ dan berselawat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN