IPTS digalak laksana Dapur Siswa

IPTS digalak laksana Dapur Siswa

ZAMBRY Abd. Kadir bercakap pada program In Person With DocZam Sempena Semarak Kampus Madani di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA, Kuala Nerus, Terengganu malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara mencontohi pelaksanaan projek Dapur Siswa yang kini dijalankan secara meluas di semua universiti awam (UA).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu penting memandangkan masih terdapat pelajar IPTS yang berdepan kekangan kewangan khususnya akibat peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata, antara contoh terbaik ialah projek Dapur Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menyediakan makanan kepada kira-kira 300 pelajar setiap hari bagi memastikan mereka yang kurang berkemampuan tidak berdepan kelaparan.

“Saya dimaklumkan sudah ada universiti swasta yang melaksanakan projek ini. Kita faham mungkin ada juga pelajar IPTS yang mengalami kesulitan kewangan. Justeru, saya telah mengarahkan pihak universiti melalui Hal Ehwal Pelajar (HEP) supaya program ini dilaksanakan dengan lebih meluas,” katanya selepas menghadiri sesi In Person With DocZam di Dewan Al-Muktafi Billah Shah UniSZA, di sini, malam tadi.

Projek Dapur Siswa, kata Zambry, adalah inisiatif penting bagi meringankan beban pelajar terutama daripada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, selain memastikan bekalan makanan mencukupi, program itu juga memupuk semangat kasih sayang dan tolong-menolong dalam kalangan mahasiswa.

Menurut beliau, kementerian sentiasa bersedia membantu golongan kurang berkemampuan yang ingin melanjutkan pengajian ke IPT.

Beliau turut menegaskan semua naib canselor perlu cakna terhadap pelajar yang menghadapi kesusahan dan segera menyalurkan bantuan sewajarnya.

“Kita perlu pastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana masalah kewangan. Universiti bukan sahaja tempat menimba ilmu tetapi juga perlu menjaga kebajikan mahasiswa. Jangan fikir soal duit, kita akan bantu pelajar yang berkelayakan. Kita mahu semua orang berpeluang merasai pengalaman melanjutkan pelajaran,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN