TAIPING: Sebanyak 2.1 juta batang rokok seludup dan pelbagai barang kes lain yang dianggarkan bernilai RM355,292 dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dalam Majlis Pelupusan Mega Barang Kes 2025 di di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pelupusan itu melibatkan 40 kertas siasatan kes yang telah selesai dari tahun 2011 hingga 2025, merangkumi kes melibatkan penyeludupan, perdagangan mata wang digital, perjudian, mercun serta kes-kes am lain.
Menurutnya pelaksanaan pelupusan dilakukan secara berperingkat dan hanya selepas memperoleh perintah mahkamah, selaras dengan garis panduan serta prosedur yang ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Objektif utama pelupusan ini adalah untuk memastikan pengurusan barang kes dilakukan dengan teratur, telus, efisien serta mematuhi perundangan setelah kes berkaitan diselesaikan di mahkamah.
“Antara faktor utama pelupusan dijalankan adalah bagi mengelakkan kesesakan di stor barang kes, memelihara integriti dan ketelusan pasukan polis, serta menjimatkan kos dan sumber logistik yang diperlukan untuk penyimpanan barang kes dalam tempoh panjang.
“Antara barangan kes yang dilupuskan melibatkan 10,470 karton rokok pelbagai jenama yang hampir bersamaan 2.1 juta batang rokok, hasil rampasan daripada tujuh kertas siasatan kes yang diselesaikan antara tahun 2013 hingga 2022, dengan nilai rampasan dianggarkan RM266,788” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, turut dilupuskan ialah 427 unit mesin Bitcoin pelbagai jenama hasil rampasan daripada 10 kertas siasatan antara tahun 2021 hingga 2023, dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM106,750.
“Bagi kategori arak seludup, sebanyak 632 tin dan 44 botol arak pelbagai jenama turut dimusnahkan, melibatkan dua kertas siasatan yang telah selesai antara tahun 2019 hingga 2024, dengan nilai rampasan sebanyak RM1,753.
“Keseluruhan nilai rampasan bagi barangan kontraban yang dilupuskan adalah sebanyak RM283,542,” katanya.
Selain itu, barangan lain yang turut dilupuskan termasuk 130 kotak dan 41 bungkus mercun pelbagai jenama, melibatkan lapan kertas siasatan dari tahun 2012 hingga 2024 dengan nilai anggaran RM15,000.
Bagi kes perjudian, pelupusan melibatkan pelbagai barang seperti meja, telefon bimbit, daun terup, mesin judi serta wang tunai berjumlah RM1,460 yang dikaitkan dengan lima kertas siasatan dari tahun 2017 hingga 2025 dengan nilai anggaran keseluruhan RM10,000.
“Dalam kategori kes am pula, lapan kertas siasatan dari tahun 2011 hingga 2019 melibatkan sampel darah daripada kes-kes seksual turut dilupuskan secara sah mengikut perintah mahkamah.
““Pelupusan ini penting untuk meningkatkan kecekapan sistem siasatan dan kehakiman, selain memastikan barang kes yang sah dimiliki dikembalikan kepada pemilik selepas kes selesai,” katanya. – UTUSAN