PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kerisauan berhubung isu keselamatan negara susulan penahanan beberapa perisik tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Perdana Menteri telah membangkitkan sedikit pertanyaan dan juga kerisauan beliau mengenai insiden penahanan anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) yang mana pihak SPRM telah melakukan satu serbuan dan sejumlah wang telah dirampas.
“Jemaah Menteri difahamkan dua daripada mereka yang telah ditahan itu merupakan pegawai dari MDIO dan Perdana Menteri menyatakan kerisauan di atas aspek keselamatan yang mungkin timbul,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Pada 14 Ogos lalu, lima pegawai kanan ATM ditahan SPRM selepas disyaki terbabit membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket untuk membawa masuk barangan larangan seperti dadah, tidak menjejaskan operasi ketenteraan negara.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, sebahagian mereka yang ditahan itu adalah anggota MDIO dan tempat mereka sudah digantikan serta-merta.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan berkata, pihak Kementerian Pertahanan telah diminta untuk menyediakan laporan penuh untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas siasatan yang dijalankan oleh SPRM selesai.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Perdana Menteri turut meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memberi laporan dan status terkini berhubung siasatan insiden pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, semalam. – UTUSAN